KDN: Tiada kelewatan dalam siasatan kes pembunuhan Morais
Tidak timbul soal kelewatan dalam proses penyiasatan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menjawab soalan Chua Tian Chang @ Tian Chua (PKR-Batu) melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, KDN berkata polis menjalankan siasatan sebaik sahaja laporan polis tentang kehilangan Morais dibuat.
"Pihak polis telah melihat semua aspek dalam siasatan yang dijalankan termasuk meneliti semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di laluan yang sering digunakan mangsa.
"Dalam siasatan yang dilakukan, tiada sebarang kelengahan dari segi siasatan sehingga kes berkenaan berjaya diselesaikan," kata kementerian itu.
Chua ingin mengetahui adakah benar dalam penyiasatan pembunuhan Morais, rakaman CCTV hanya disiasat selepas empat hari, dan adakah benar polis tidak menerima memo mengenai kes itu sehingga selepas 48 jam.
Mayat Morais, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September lepas.
Morais dilaporkan hilang pada 4 September, dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta untuk ke tempat kerjanya di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.
Pada 5 Oktober lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata tiada lagi suspek diburu berhubung kes pembunuhan timbalan pendakwa raya itu, selepas lapan individu didakwa sebelum ini.
- Bernama
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.