Wisma Putra: Penambakan China luar sempadan kedaulatan negara
Aktiviti kegiatan penambakan dan pembinaan infrastruktur yang dilakukan oleh China di kawasan Laut China Selatan, dilaksanakan di luar kawasan maritim Malaysia, menurut Kementerian Luar Negeri.
Sehubungan itu aktiviti tersebut tidak melangkaui sempadan kedaulatan negara, kata kementerian melalui jawapan bertulis bagi soalan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak).
Namun, Wisma Putra berkata lagi aktiviti-aktiviti itu telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan negara ASEAN kerana ia berpotensi untuk menjejaskan kestabilan di Laut China Selatan.
"Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2015, Malaysia telah membangkitkan kegusaran yang ditimbulkan oleh beberapa negara anggota kepada pihak China.
"Kenyataan Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 pada 27 April 2015 serta Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48 turut menyentuh isu ini," menurut Wisma Putra.
Mohamed Azmin ingin kerajaan menyatakan pendirian terhadap kegiatan pembinaan yang dilakukan oleh China di Laut China Selatan dan apakah aktiviti itu melangkaui sempadan kedaulatan negara.
- Bernama

