Tian Chua: Apa lagi polis mahu?

   

Polis sekali lagi merakamkan kenyataan ahli Parlimen Batu Tian Chua susulan pertemuan Nurul Izzah Anwar dan anak perempuan bekas ketua penceroboh Sulu Jacel Kiram di Manila baru-baru ini.

Tian Chua tiba di ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada pukul 11.10 pagi ini, setelah dipanggil berbuat demikian pada awal minggu.

“Tidak banyak yang ingin saya jelaskan kerana pertemuan Nurul dengan Jacel tidak ada sebarang unsur jenayah.

“Kalaupun ada, (hanya) kesilapan persepsi, Nurul telah meminta maaf dan perkara ini tidak patut dipanjangkan.

“Apa lagi mereka nak buat?” kata Tian Chua kepada pemberita sebelum masuk ke Bukit Aman.

Peguam Tian Chua, Sivarasa Rasiah berkata polis memanggil Tian Chua susulan beberapa laporan polis dibuat terhadap pemimpin kanan PKR itu.

“Kami tidak ada apa-apa hendak disembunyikan,” kata Sivarasa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menuduh Tian Chua sebagai ‘dalang’ yang mengaturkan pertemuan antara Nurul Izzah dengan Jacel.

Tian Chua akhirnya keluar dari Bukit Aman kira-kira jam 1 petang selepas proses mengambil kenyataannya berlangsung hampir sejam, iaitu mulai 11.50 pagi.

Tindakan tidak munasabah

Ditemui media, Tian Chua berkata, polis memaklumkan masih belum mempunyai sebarang pendakwaan khusus untuk dikenakan terhadapnya atau Nurul Izzah.

"Setakat ini, polis tidak mengesan apa-apa unsur jenayah dalam perbuatan kami," dakwanya.

Tian Chua juga menjelaskan, ada kira-kira 90 laporan polis telah oleh pihak dipercayai penyokong BN terhadapnya dan Nurul Izzah.

Sementara itu Sivarasa pula berkata, polis tidak dapat jawab apabila mereka ditanya tentang kesalahan dilakukan Tian Chua.

"Dengan terang-terang ini menunjukkan tidak ada apa unsur-unsur jenayah," katanya.

Mengulas mengenai larangan kerajaan terhadap aktivis politik Hishamuddin Rais ke luar negara, Tian Chua berkata, ia adalah langkah tidak munasabah.

"Hishamuddin tidak boleh dikaitkan dengan apa-apa kontroversi seperti 1MDB tetapi dihalang daripada keluar negara. Ini adalah tindakan luar biasa.

"Kita mahukan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negari akan apakah ancaman seseorang aktivis itu sehingga dia dihalang?" tanya Tian Chua.

Katanya, pihak berkuasa harus memaklumkan kepada seseorang jika individu terbabit diperlukan untuk membantu siasatan dan bukannya menghalang mereka ketika hendak menaiki kapal terbang.

"Jika saya diperlukan, saya rela dan akur kalau alasannya munasabah. Saya tidak akan menyeludup diri ke luar negeri atau larikan diri.

"Tapi saya rasa tidak patut apabila sampai pintu Jabatan Imigresen, baru dimaklumkan seseorang tidak dibenarkan ke luar negara," katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In