Suatu ketika tidak lama dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad dinobatkan sebagai seorang pemimpin ulung dan negarawan yang dihormati semua, khususnya di kalangan ahli-ahli Umno.

Namun, keadaan berubah sejak bekas perdana menteri itu menghunus kerisnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menuduhnya mencuri wang negara.

Susulan itu, jentera propaganda Najib, termasuk portal pro-Umno, MyKmu.net membidas Mahathir tanpa belas ikhsan.

Dalam kemas-kini terbarunya, Mahathir yang genap berusia 90 tahun Julai lalu sekadar disebut semata-mata sebagai "orang tua".

Artikel itu mengkritik Dr Mahathir kerana menyerang syarikat pelaburan negara 1MDB yang diilhamkan Najib tetapi kini sarat hutang dengan hanya menggunakan anggapan.

“Kita bernasib baik sungguh kerana tidak kehilangan seorang pemimpin terhebat seperti Datuk Seri Najib Razak, hanya kerana seorang tua di hujung-hujung umur buat anggapan (assumption) beliau melesapkan wang negara sebanyak RM 42 billion melalui hutang 1MDB.

“Sebelum ini orang tua yang sama mengelak buat laporan polis berhubung dakwaan yang serupa kerana mengaku tidak ada bukti, sekarang dia mengaku agak-agak saja pulak.”

Menurut artikel itu , adalah bernasib baik kerana Najib mengutamakan perjuangan dan tidak tunduk kepada “kehendak si tua itu”, atau negara akan kehilangan pemimpin hebat.

“Kalau turut sahaja apa kehendak si tua itu, jadilah kita sebuah negara yang rugi kerana kehilangan pemimpin macam Najib, sudahlah pemimpin hebat macam itu bukan senang nak dicari,” petik artikel itu.

MyKmu juga berkata bahawa sesiapa yang ingin muntah membaca huraian berkenaan adalah bebas berbuat demikian.

“Kalau Anwar yang meliwat ada kata hebat dan layak jadi perdana menteri, kalau Dr Mahathir yang pernah disamakan dengan Firaun boleh dikatakan agung suci dan murni, kenapa tidak Najib yang belum pernah lagi dibuktikan melanggar apa-apa bentuk undang-undang?”

Artikel itu berkata penekanan harus diberikan kepada betapa mudah untuk menurunkan pemimpin hanya berasaskan kepada andaian.

“Padanlah terang berapa kali terang pun masih tak faham, rupanya dia pun main agak-agak saja.

“Sudah dibagi bukti, fakta dan dokumen segala macam, tak nak percaya, nak percaya yang ‘assumption’ itu juga, sekarang siapa yang malu? Siap ada yang hilang jawatan kerana kes agak-agak ini, tak pasal saja.”

[Baca berita penuh]