'Saya tak macam Najib, tapi Tun Razak'
Walaupun sebelum ini pernah melobi supaya Datuk Seri Najib Razak diangkat sebagai perdana menteri, di mata Tun Dr Mahathir Mohamad anak Tun Abdul Razak Hussein itu langsung tidak memiliki persamaan dengannya.
Sebalikya, kata Dr Mahathir, beliau lebih hampir menyerupai Abdul Razak sendiri yang juga perdana menteri kedua Malaysia.
"Apa yang Najib buat sama seperti saya? Dia ada hutang RM42 bilion, dia membuka syarikat sendiri (merujuk kepada 1MDB) dan menjadi penasihat.
"Saya tak pernah buat semua itu. Macam mana orang kata saya macam dia? Saya tak faham betul
"Tapi kalau macam bapa dia (Abdul Razak), ya," katanya disambut sorakan hadirin yang mendengar ucapannya di Senawang, Negeri Sembilan hari ini.
Pemimpin veteran berusia 90 tahun itu kemudian menjelaskan bagaimana Abdul Razak - dan beliau sendiri - memberi keutamaan kepada pembangunan orang Melayu.
"Masa saya menjadi perdana menteri saya buat jalan raya, sekolah dan klinik. Saya buat macam-macam (pembangunan) di kampung.
"Tetapi apa yang Najib lakukan adalah sembunyikan duit dalam akaun dia sampai RM700 juta. Saya tidak (begitu).
"Dalam akaun saya adalah sikit tapi tak sama jumlahnya,” katanya sambil disambut dengan tawa hadirin yang memenuhi dewan tersebut.
Najib kini menghadapi kritikan terhadap pelbagai isu, terutamanya yang berkaitan dengan idea 1MDB beliau serta dana RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun persendiriannya.
Bagaimanapun, Najib telah secara konsisten menafikan sebarang salah laku atau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi.
Perdana Menteri juga mendakwa bahawa ada konspirasi untuk menjatuhkannya.

