DAP harap RUU MKN tersekat di Dewan Negara

   

DAP menggesa senator-senator MCA, terutama ketua pemudanya Chong Sin Woon, mengundi menolak rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Dewan Negara.

Anggota parlimen Seputeh Teresa Kok berkata demikian susulan kenyataan ketua biro undang-undang MCA Ng Kian Nam bahawa undang-undang itu boleh menjuruskan negara ke ambang pemerintahan diktator.

Kok berkata oleh kerana Chong tidak menolak kenyataan itu, ia bermaksud pendirian Ng adalah pendirian rasmi Pemuda MCA.

“Jadi persoalan yang dipersoalkan rakyat Malaysia, adakah Chong akan mengambil pendirian berani dengan mengundi menentang rang undang-undang itu di Dewan Negara?” soal Kok.

Dewan Rakyat kelmarin meluluskan rang undang-undang MKN secara tergesa-gesa dengan undi suara majoriti, tanpa sebarang pindaan.

Rang undang-undang itu antara lain, memberi perdana menteri, sebagai pengerusi majlis MKN, kuasa mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai "zon keselamatan" dengan hanya kelulusan anggota majlis itu.

Undang-undang baru ini diperkenalkan ketika kedudukan Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri terus dicabar pelbagai pihak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi bagaimanapun berkata rang undang-undang itu tidak mempunyai tujuan politik atau untuk memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In