Najib dakwa pembangkang hanya cakap 'auta' isu 1MDB
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa pembangkang akan kalah sekiranya mereka dicabar untuk membentang fakta berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib mendakwa pembangkang selama ini hanya bercakap 'auta' (tidak benar) mengenai 1MDB yang hakikatnya syarikat itu tidak mempunyai hutang yang membebankan kerajaan dan negara.
"Ada syarikat negara dari China, beli dengan nilai keseluruhan RM17 bilion (1MDB)... nampak boleh selesai.
"Mereka nak serang kita melalui peperangan persepsi.
"Kalau bentang fakta dia kalah... kalau bentang logik dia kalah... kalau lawan rasional dia kalah.. dia lawan apa, dia lawan bukan fakta tetapi auta," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2015 (PEMANAS 3.0) malam tadi.
Mengulas lanjut, Najib berkata isu 1MDB ini juga telah menjadikan Arul Kanda lebih popular berbanding pengkritik.
Katanya, penjelasan Arul itu juga membuatkan pengkritik semakin senyap.
"Apabila muncul isu 1MDB, bila Arul Kanda beri penerangan, saya anggap dia adalah popular di Malaysia.
"1MDB ditimbulkan melalui persepsi, tetapi realitinya kita dah tegok pencerahan isu itu semakin jelas bahawa penyelesaian itu ada, belum rugi lagi," katanya.
Sehubungan itu, Najib yakin sekiranya penjelasan diberikan dengan baik, rakyat akan terus bersama kerajaan.
"Kalau kita dapat terangkan, kita percaya mereka akan bersama kerajaan," tegasnya.

