Wanita Umno tekad dekati wanita profesional, korporat
Pergerakan Wanita Umno akan lebih agresif mendekati golongan wanita profesional dan korporat dalam usaha membantu mereka mempertingkat kedudukan dalam bidang yang diceburi.
Ketua Wanitanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata golongan itu yang berperanan membuat keputusan dan merupakan penyumbang kepada pembangunan negara, dilihat kurang mendapat pembelaan sewajarnya.
"Wanita Umno akan wujudkan satu kumpulan khusus yang memfokuskan perjuangan untuk golongan wanita profesional pada masa depan. Malah saya juga akan berjumpa mereka secara berkala bagi melihat sendiri apakah isu yang sering dibangkitkan.
"Kami bukan sekadar jentera yang berjuang dalam isu politik sahaja namun Wanita Umno sedang berkembang untuk membela nasib wanita dalam pelbagai bidang," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program 'Women Power Talk' di ibunegara hari ini.
Antara penceramah di majis itu ialah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.
Shahrizat berkata sehubungan itu, Wanita Umno juga akan membangunkan unit pangkalan data untuk mengumpulkan maklumat secara terperinci dan terkini berkaitan golongan wanita dalam bidang profesional dan korporat sebagai langkah
memudahkan mereka diberi perhatian secara lebih khusus.
Menyifatkan unit data tersebut akan menjadi perjuangan pergerakan itu lebih terancang dan sempurna, Shahrizat berkata kekuatan serta kelebihan wanita dalam bidang berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi masa depan pembangunan negara.
Mengulas lanjut, Shahrizat berkata pihaknya memohon peruntukan kewangan daripada Umno Malaysia untuk membangunkan unit data berkenaan dan ia mendapat kelulusan daripada bendahari Ahmad Husni.
"Bagaimanapun, kami akan meminta izin daripada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak terlebih dahulu namun apa yang kami lihat, unit ini kelak akan membantu kami mempertingkat kemajuan program-program dan perjalanan pergerakan
ini sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata inisiatif baharu yang dilakukan Wanita Umno dalam mendekati kumpulan profesional dan korporat adalah langkah terbaik dalam menjaga kepentingan semua lapisan masyarakat.
Terdahulu dalam ucapannya pada program berkenaan, Ahmad Husni berkata sebagai sebuah negara yang sedang menuju ke arah status negara maju, semua pihak perlu mendalami sesuatu ilmu secara lebih mendalam selain memperkenal pelbagai skil serta teknologi baharu untuk seiring dengan pihak lain.
"Sekarang ini, landskap dunia telah berubah yang mana dengan merujuk kepada negara maju, rakyat tidak seharusnya terlalu bergantung kepada kerajaan namun perlu ada pembangunan kapasiti," katanya.
- Bernama

