Hadiah RM1 juta ditawar sempena AIPM 2015
Kerajaan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta kepada agensi awam yang menghasilkan pembangunan inovatif yang membawa kepada kesejahteraan rakyat dan negara menerusi Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2015.
Timbalan Ketua Pengarah Transformasi dan Pemodenan Pengurusan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Dr Aizi Razman Ismail berkata anugerah berkenaan bertujuan menggalakkan sektor awam
menghasilkan lebih banyak idea kreatif yang mampu menterjemahkannya kepada tindakan inovatif demi manfaat rakyat dan pembangunan negara.
"Penilaian AIPM adalah bersandarkan empat kriteria utama iaitu kreativiti, keberkesanan, relevan dan signifikan dalam projek pembangunan inovatif yang dijalankan oleh agensi itu. Hanya satu agensi yang layak mendapat anugerah itu.
"Ia juga turut mengambil kira elemen penciptaan nilai awam secara mampan, tahap impak yang berjaya dihasilkan oleh sesuatu inisiatif, penghasilan inovasi yang berorientasikan kesejahteraan rakyat serta mampu mencetus penyampaian
perkhidmatan bermakna kepada rakyat," katanya ketika ditemu bual dalam program 'Ala Carte Pagi' terbitan Bernama Radio24 hari ini.
Dr Aizi berkata selain itu, Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) juga turut memberi pengiktirafan kepada sektor awam berdasarkan kepada penghasilan inovasi berimpak signifikan mengikut empat bidang khusus pengurusan.
"Empat bidang khusus pengurusan sektor awam yang dinilai iaitu kewangan, teknologi maklumat dan komunikasi, pihak berkuasa tempatan, dan pentadbiran daerah dan tanah.
"Ganjaran tunai sebanyak RM300,000 untuk setiap bidang diagihkan kepada semua calon yang berjaya disenarai pendek iaitu tempat pertama RM150,000 berserta trofi dan sijil, kedua RM100,000 dan sijil serta ketiga RM50,000 dan sijil," katanya.
Katanya pengumuman mengenai calon dan pemenang akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Dis di Majlis AIPM dan AISA yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas temu bual itu, Dr Aizi berkata kerajaan perlu melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan pemikiran inovatif dalam kalangan rakyat bagi memastikan transformasi negara dapat dicapai menjelang 2020.
"Kita tidak mahu apabila menjelang 2020, negara sudah mencapai tahap negara maju iaitu dunia pertama namun tahap pemikiran rakyat masih lagi dalam tahap ketiga.
"Oleh itu, kerajaan perlu berinisiatif mengubah minda rakyat supaya ia setaraf dengan transformasi yang dibuat terhadap pembangunan infrastruktur dan ekonomi negara selepas lima tahun," katanya.
Katanya sesuatu organisasi juga harus membudayakan inovasi sebagai satu proses pemikiran yang menjadi kelaziman bagi setiap individu di bawahnya.
"Contohnya jika berhadapan dengan sesuatu masalah atau cabaran jangan sesekali hanya memikirkan tentang satu penyelesaian sama sahaja, kita harus menggunakan daya pemikiran inovatif itu untuk menyelesaikan masalah.
"Bagi membina masa depan yang lebih cerah, masyarakat perlu melakukan sesuatu yang luar biasa dan berfikiran luar kotak agar dapat memajukan diri serta mengasah bakat masing-masing," katanya.
- Bernama

