Muhyiddin: Saya mungkin jadi bahan celaan di PAU

Anne Muhammad        

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin merasakan bahawa beliau mungkin akan menjadi bahan celaan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Katanya, beliau yakin tidak melakukan sebarang kesalahan dengan menegur Presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak, tetapi sebaliknya hanya mahukan perkara yang sebenar dijelaskan.

"Saya mungkin akan jadi bahan celaan di perhimpunan akan datang. Saya yakin, saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Saya lakukan atas dasar prinsip dan agama," katanya sewaktu berucap di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur malam tadi.

"Biar saya berterus terang, siapa yang menjadi barah dan nanah harus ditolak," ujarnya.

Bagaimanapun Muhyiddin sedar bahawa ucapannya itu akan menyebabkan beliau dipecat dari parti Melayu itu.

"Saya sedar saya mungkin disingkirkan dari parti," kata ahli Parlimen Pagoh itu sambil menegaskan bahawa beliau tidak boleh memilih untuk terus berdiam diri.

"Mungkin saya boleh terima tawaran-tawaran lumayan dari perdana menteri. Tetapi bagi saya prinsip perjuangan parti lebih penting, bukannya untuk kepentingan diri masing-masing. Ia sesuatu yang tidak boleh dijual beli," katanya.

Dalam majlis itu, kira-kira 1,000 orang hadir mendengar ucapan Muhyiddin.

Hadir sama, mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In