Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang ke-69 secara rasmi akan membuka tirai malam ini pastinya lebih menjadi tumpuan, bukan saja di kalangan ahli Umno, tetapi juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Tentunya pelbagai pihak ternanti-nanti kerana ada banyak soalan yang sudah berlegar tetapi jawapan yang diberi pula masih dirasakan kurang mencukupi.

Ada lebih daripada satu sebab untuk rakyat Malaysia memberi perhatian dan menaruh harapan pada perhimpunan kali ini.

PAU kali ini menjanjikan banyak keunikan. Antaranya timbalan presiden yang 'kempunan' merasmikan perhimpunan pemuda, wanita dan puteri; presiden pula masih dibayangi dakwaan berterusan daripada veteran parti.

Pengkritik paling tegar Datuk Seri Najib Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad pula mengesahkan akan hadir . Jika ia menjadi kenyataan, tidak boleh tidak ingatan orang ramai kepada program Nothing To Hide akan segar semula. Cuma kali ini diyakini Dr Mahathir tidak akan dapat bercakap di depan 2,762 perwakilan berdaftar.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dipercayai akan 'kempunan' kali kedua apabila pengurusan Umno akan mengehadkan sesi penggulungan di akhiri PAU kepada tokoh tertentu semata-mata.

Sudah tentu, ramai yang bertanya-tanya bagaimana reaksi para perwakilan terhadap kehadiran Dr Mahathir, Muhyiddin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika tanda tanya mengenai isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion masih belum terlerai sepenuhnya.

Malam tadi ketika berucap di ibu negara, Muhyiddin sudah membayangkan kemungkinan beliau akan menjadi bahan celaan di PAU kali ini gara-gara tegurannya terhadap perdana menteri.

Sebelum PRU ke-14

Ia mungkin benar, tetapi mungkin juga langkah analgesia dahuluan ( preemptive ) yang cerdik daripada ahli politik berpengalaman seperti Muhyiddin.

Begitu juga rakyat ternanti-nanti jika ada pembahas yang berani melawan arus dan ombak gadang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan mempersoalkan secara terbuka kewajaran Najib terus menjadi perdana menteri.

Di luar PWTC riak itu sudah ada, cuma ia adalah riak yang sangat kerdil kerana digerakkan oleh ketua-ketua cawangan tertentu.

Dalam hierarki, cawangan adalah struktur paling bawah dalam Umno dan pihak yang ingin dicabar pula berada di peringkat paling tinggi. Di antara dua entiti itu ada jurang yang menjanjikan pelbagai kemungkinan dan kilas politik yang rumit.

Di depan Umno pula - dalam jangka masa tidak berapa panjang - ada pula pilihan raya umum ke-14.

Yang pastinya, perhimpunan kali ini berbeza benar daripada sebelumnya.

Di pihak Najib sendiri, malam tadi beliau mendapat ruang cukup selesa memperjelaskan keadaan dirinya apabila muncul dalam program temubual di TV3.

Ditemuramah pengarang kanan kumpulan media perdana negara, Najib menjawab soalan yang diajukan, khususnya isu 1MDB dan sumbangan politik RM2.6 bilion.

Dari satu sisi, ia dilihat usaha untuk menyediakan jawapan awal untuk perwakilan Umno bagi meredakan kegelisahan mereka sebelum berkumpul di PWTC.

Bagaimana reaksi mereka dengan jawapan itu adalah perkembangan yang sangat menarik untuk diperhatikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS