2 penggal untuk presiden terlalu pendek - KJ

Bernama        

Cadangan mengehadkan tempoh Presiden UMNO memegang jawatan selama dua penggal adalah terlalu pendek, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Dalam reaksinya terhadap cadangan agar jawatan presiden dihadkan kepada dua penggal, Khairy berkata tidak banyak yang dapat dilakukan dalam tempoh berkenaan.

"Dua penggal ialah tiga tahun kali dua, apa yang boleh dibuat dalam enam tahun.

“Bagi saya cadangan itu terlalu pendek," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Tengah hari Perwakilan Bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO di Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang bermula Selasa.

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya pada satu majlis di Kampung Baru di ibu negara pada Isnin malam mencadangkan UMNO mengehadkan tempoh presiden parti itu kepada dua penggal.

Menyatakan cadangan tersebut boleh dibincangkan, Khairy bagaimanapun menegaskan bahawa tempoh memegang jawatan utama itu perlulah munasabah bagi membolehkan Presiden UMNO melaksanakan pelbagai perancangan demi kebaikan anggota UMNO dan rakyat.

Sementara itu, Khairy berkata pergerakan itu akan membawa usul mengenai isu yang hangat diperkatakan generasi muda pada masa ini pada perhimpunan tersebut terutamanya berkaitan ekonomi dan kos sara hidup.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In