Datuk Seri Najib Razak dilihat kecewa terhadap timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuat kenyataan keras terhadap beliau semalam, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Menurut anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu, Najib berkata Muhyiddin patut menggunakan landasan yang betul untuk menyatakan perasaan tidak puas hati.

Rahman ( gambar ) berkata demikian ketika ditemui di luar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara – lokasi taklimat tertutup Najib kepada pemimpin Umno pelbagai peringkat malam ini.

“Beliau (Najib) kata, jika kamu ada sebarang masalah kamu patut guna landasan yang betul untuk bercakap,” kata Rahman.

Muhyiddin semalam terus mengkritik pelbagai isu yang dikaitkan dengan Najib seperti kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadinya serta kontroversi sekitar 1MDB.

Beliau juga menyeru Najib berehat daripada jawatannya serta melontarkan gesaan di Internet yang mahukan anggota parlimen Pekan itu berundur.

Berbeza dengan tahun-tahun lalu, Muhyiddin sebagai timbalan presiden Umno tidak lagi diberi peluang merasmikan mesyuarat agung sayap parti itu pada malam sebelum persidangan.

Beliau digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas kritikal terhadap syarikat pelaburan negara 1MDB yang diilhamkan Najib.

Muhyiddin tidak hadir dalam taklimat Najib malam ini setelah berucap pada penyokongnya di sebuah majlis di Kampung Baru, di ibu negara malam tadi ( gambar ).

Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal, yang juga senasib dengan Muhyiddin, bagaimanapun turut serta.

“Amat mengecewakan (beliau tidak hadir).

“Kerusi kosong, ruginya. Kami tunggu beliau,” kata Rahman yang juga pengarah strategi BN.

[Baca berita asal]