Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong hari ini meminta orang ramai agar tidak terpedaya dengan individu atau mana-mana organisasi yang menyalahgunakan namanya untuk memungut wang atau dana.

Beliau menyeru orang ramai yang didatangi individu tertentu agar membuat semakan terlebih dahulu di pejabat timbalan menteri kewangan bagi kesahihan maklumat yang dikemukakan.

"Selasa lepas saya menerima panggilan daripada sebuah bank tempatan bahawa cek untuk isteri saya telah siap untuk dipungut. Menurut pegawai bank itu, pihaknya menerima satu surat daripada sebuah NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang mana isi kandungannya bertujuan untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM30,000.

"Beliau (pegawai bank) juga memberitahu, permintaan peruntukan itu adalah atas permintaan saya dan isteri saya, namun saya menafikan kerana kami tidak mengenali NGO berkenaan dan tidak memberi sebarang sokongan menggunakan nama kami," katanya.

Tambah timbalan menteri itu, pegawai bank itu juga menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai isteri beliau bagi meluluskan cek tersebut.

"Setelah saya dapat mengetahui ada perkara yang salah tentang permohonan cek tersebut dan percaya ada pihak telah menyalahgunakan nama saya dan isteri, maka saya meminta pegawai bank itu membatalkan cek itu," katanya.

Chua berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

"Jika mana-mana NGO atau organisasi yang memerlukan dana, sila datang ke pejabat kami untuk berbincang, tolong jangan menyalahgunakan nama saya dan keluarga saya," tegasnya.

Sehubungan itu, Chua meminta pihak polis mengambil tindakan undang-undang terhadap NGO berkenaan yang cuba memperdaya orang ramai dengan menggunakan nama beliau serta isteri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis IPD Dang Wangi, Supt Habibi Majinji mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Akta Kanun Keseksaan kerana menipu.

- Bernama