Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah kekal hukuman denda terhadap 2 exco AMK
Diterbitkan:  Dec 10, 2015 6:10 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan hukuman denda RM1,900 seorang yang dikenakan terhadap dua anggota exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) kerana menyertai perhimpunan di tempat larangan pada Jun 2013.

Bagaimanapun Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menolak rayuan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad untuk memberatkan hukuman terhadap Mohd Nazree Mohd Yunus, 32, daripada AMK Negeri Sembilan dan Mohd Alfaizal Amjed, 34, daripada AMK Terengganu.

Pada 13 Disember 2013, Hakim Mahkamah Sesyen mengenakan denda RM1,900 selepas masing-masing mengaku bersalah memberi ucapan pada perhimpunan itu di pekarangan masjid berkenaan sebelum bersama peserta lain menuju ke Padang Merbok untuk menyertai perhimpunan Blackout 505 anjuran Sekretariat Pakatan Rakyat.

Mereka didakwa melakukan perhimpunan itu di tempat larangan iaitu tempat ibadah iaitu perkarangan Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya di ibunegara antara 12 tengah hari dan 1.15 tengah hari pada 22 Jun 2013.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh didenda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Siti Mariah berkata mahkamah berpuas hati hakim Mahkamah Sesyen mengambil kira kesemua fakta dan mematuhi prinsip-prinsip dalam menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua mereka.

"Tiada sebab untuk mengganggu keputusan tersebut. Mahkamah dengan ini menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Sesyen," kata hakim.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS