Masih ada ruang untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon maaf kepada Umno atas “keterlanjuran sikap”, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Namun, kata naib presiden Umno itu, ia perlu dilakukan dengan ikhlas dan bergantung kepada mereka bertindak demikian bagi merapatkan semula barisan kepimpinan tertinggi Umno, lapor Bernama.

Hishammuddin tidak menafikan bagi pemimpin yang berada "di persimpangan atau kadangkala (dalam keadaan) terlanjur," memerlukan sedikit masa untuk dirapatkan semula.

Bagaimanapun, katanya, walaupun permohonan maaf dibuat, siasatan terhadap tindakan mereka sebelum ini akan tetap dijalankan oleh jawatankuasa khas Umno, lapor agensi berita nasional lagi.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai saranan perwakilan yang meminta barisan kepimpinan tertinggi parti merapatkan barisan, dan mereka yang terbabit memohon maaf.

Sementara itu, Hishammuddin berkata walaupun kedua-duanya mengkritik presiden parti Datuk Seri Najib Razak, mereka tetap hadir ke perhimpunan Umno kali ini tanpa kekok.

Hishammuddin, yang juga menteri pertahanan berkata beliau pada solat Jumaat hari ini turut mendoakan moga Muhyiddin dan Shafie terbuka hati untuk memohon maaf.

Sementara itu, memetik sumber, sebuah portal pro-Najib MYKMU pula melaporkan ada cakap-cakap yang mengatakan kebarangkalian Muhyiddin akan meminta maaf kepada Najib esok.