DBP mahu pensyarah, penuntut asing diwajib ujian BM
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berharap kerajaan dapat mewajibkan pensyarah dan penuntut antarabangsa di semua universiti awam menduduki ujian Kelayakan Bahasa Melayu (KBM) mulai tahun hadapan.
Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan berkata sehingga ini hanya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sahaja yang mewajibkan ujian itu di bawah Pusat Pengajian Umum.
Sepatutnya semua universiti awam mula mewajibkan penuntut dan pensyarah asing untuk mengambil KBM pada September lepas kerana modulnya telahpun disiapkan oleh DBP, katanya pada sidang media bersempena sambutan GENTA Bahasa II, yang akan diadakan pada 14 Disember ini.
Beliau berkata semua Naib Canselor universiti awam telah bersetuju untuk memulakan ujian KBM pada September lepas, tetapi penguatkuasaan tidak begitu tegas dan hanya sejumlah kecil calon yang menunjukkan minat untuk mengambil ujian itu.
Oleh itu kerajaan perlu menetapkan dasar bagi mewajibkan setiap pensyarah dan penuntut untuk mengambil ujian KBM dalam usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan, katanya.
KBM juga akan diperluaskan bagi pekerja asing lain di negara ini secara berperingkat dan Awang menambah kata selaras dengan itu DBP telah menyediakan satu kertas kerja untuk diajukan kepada Jemaah menteri melalui Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia.
Ujian KBM ini tidak janggal pada warga asing kerana semua negara lain telah melaksanakan ujian seumpamanya dalam bahasa masing-masing, katanya.
Awang berkata DBP berharap ujian KBM yang dibahagikan kepada tiga peringkat - teras, pertengahan dan tinggi - dapat diwajibkan bermula April atau Mei 2016.
DBP melaksanakannya dengan kerjasama Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang dianggotai oleh semua naib canselor.
- Bernama

