Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib macam abang saya, kata Shafie
Diterbitkan:  Dec 12, 2015 1:43 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membayangkan 'perseteruannya' dengan kepimpinan tertinggi parti itu mula mengendur apabila mendakwa beliau tidak mempunyai masalah dengan Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap kepada media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini Ahli Parlimen Semporna itu berkata, tidak timbul sebarang isu beliau untuk meminta maaf kepada Presiden Umno kerana memang tiada masalah antara kedua-dua mereka.

Sebaliknya, kata Mohd Shafie, ada banyak lagi kemelut yang perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan masa depan negara dan perlu diberi keutamaan.

“Ada banyak masalah yang berlaku…tak ada apa yang perlu didamaikan,” kata Mohd Shafie.

Mohd Shafie adalah salah seorang anggota kabinet yang digugurkan oleh Najib dalam rombakan pada 28 Julai lalu.

Seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohd Shafie menjadi salah seorang pengkritik Najib berhubung isu firma pelaburan tajaan kerajaan, 1MDB.

Mohd Shafie berkata, isu untuk beliau berdamai dan meminta maaf kepada Najib tidak perlu ditimbulkan kerana tiada masalah antara mereka berdua.

“Ada yang minta supaya minta maaf… come on-lah . Adakah ia satu keperluan untuk saya minta maaf? Salah apa yang saya lakukan dengan hanya berikan pandangan?” soal Shafie.

Tegas Shafie, kritikan beliau terhadap kerajaan sebelum ini adalah kerana ia dibangkitkan oleh rakyat bukan dari beliau.

“Ia tak dibangkitkan oleh kami, tetapi rakyat.

“Najib adalah kawan saya, dia seperti abang kepada saya. Tapi apakah masalah di sini? Saya hanya sentuh mengenai isu yang dibangkitkan rakyat. Isu penting.

“(Kami) tak ada gaduh…apa yang penting ialah untuk selesaikan masalah. Selesaikan masalah 1MDB, kehidupan rakyat…selesaikan isu ini agar ia dapat berikan keyakinan mengenai TTPA dan inilah isunya,” tegas Shafie.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS