Sekumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan institusi itu yang didakwa akan mula mengenakan kuota Internet 5 gigabyte di kampus itu.

Memetik sumber, presiden Persatuan Belia UM (Umany) Ho Chi Yang berkata cadangan itu dijangka akan dilaksanakan pada Mac tahun depan, iaitu pada permulaan semester baru.

"Walaupun kerajaan telah berjanji bahawa tidak akan ada peningkatan dalam yuran pengajian, pada hakikatnya, terdapat peningkatan yang dicadangkan ke atas bayaran lain," katanya dalam sidang media hari ini.

Ho berkata, cadangan itu dibuat berikutan pengumuman kerajaan dalam Bajet 2016 yang menyaksikan pembiayaan tahunan UM dikurangkan hampir 30 peratus - turun kepada RM463 juta bagi tahun depan.

Sehubungan itu, Umany bersama-sama Persatuan Pelajar Islam Universiti Malaya (PPIUM) mengutuk cadangan tersebut.

Mereka berkata ia akan menjadi beban tambahan kepada pelajar khususnya dari fakulti yang banyak bergantung kepada akses Internet untuk menjalankan penyelidikan atau kerja kursus.

[Baca berita asal]