Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk Kg Kala gusar kawasan tadahan air terjejas
Diterbitkan:  Dec 14, 2015 4:46 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Kira-kira 300 penduduk di Kampung Kala, Gua Musang membantah tindakan kerajaan negeri yang didakwa membenarkan aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air bukit yang digunakan mereka sejak lebih 30 tahun lalu.

Penduduk bimbang aktiviti pembalakan untuk tujuan pembukaan ladang rakyat di kawasan tersebut akan menjejaskan kawasan tadahan air bukit itu sekali gus menyebabkan mereka kehilangan sumber bekalan air bersih.

Penduduk mendakwa mereka mengetahui pembalakan akan dilaksanakan di kawasan itu selepas melihat beberapa batang pokok telah ditanda ketika menjalankan sedang menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tadahan air itu.

Seorang penduduk, Rosli Abu Bakar, 47, memberitahu beliau terkejut apabila mendapati pokok balak di kawasan tadahan air bukit itu telah ditandakan dan memberi gambaran ia akan ditebang bila-bila masa.

Beliau mendakwa bancian ke atas pokok balak bermutu itu dipercayai dilakukan kakitangan sebuah jabatan sebelum diluluskan kepada syarikat untuk ditebang.

"Saya difahamkan selepas pokok balak ditebang, kawasan itu akan dimajukan sebagai ladang rakyat dan ini akan menyebabkan kemusnahan kawasan tadahan air bukit yang kami bina sejak puluhan tahun lepas," kata Rosli.

Seorang lagi penduduk, Hashim Mohamad, 52, berkata kawasan tadahan air bukit itu dibina secara gotong-royong oleh penduduk tempatan sejak 1980-an lagi dan masih digunakan sehingga sekarang.

"Ini kerana kampung ini tidak dilengkapi kemudahan air bersih daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan kawasan tadahan air bukit berkenaan merupakan satu-satunya sumber utama penduduk mendapatkan bekalan air bersih," katanya.

Beliau menegaskan penduduk tidak akan membenarkan aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air itu yang terletak hanya kira-kira dua kilometer dari kampung berkenaan.

"Telah dua kali perkara itu (pembalakan) berlaku termasuk yang terakhir dua tahun lalu tetapi penduduk berjaya buat bantahan, namun kini ia berulang sehingga menimbulkan kerisauan kami," katanya.

Wan Deraman Wan Abdullah, 52, pula berkata kampung itu berada di kawasan luar bandar di tepi jalan alternatif Gua Musang-Jeli, namun tidak mendapat perhatian AKSB yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan air bersih.

“Kami juga boleh dikatakan mengadakan gotong-royong dua minggu sekali bagi membersih kawasan tadahan air bukit itu bagi mengelak berlaku kekotoran,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS