IGP pertahan anggota dalam seminar anti-Kristianisasi
Tidak ada tindakan undang-undang yang boleh dikenakan kepada mana-mana pegawai polis sekiranya mereka menghadiri atau menyertai program di negara ini, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Malah, Ketua Polis Negara itu menegaskan pihaknya mempunyai hak untuk berada dalam apa-apa program sama ada dijemput atau tidak.
"Saya nak tanya, undang-undang apa yang menyatakan (kehadiran pegawai polis) ia salah? Kita (polis) hadir di mana-mana dan kita sentiasa ada di mana-mana," tegas Khalid dalam sidang media selepas merasmikan program Hari Hijau PDRM, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini.
Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas kehadiran seorang pegawainya ke seminar bertajuk "Ancaman Gerakan Pemurtadan Kristianisasi” di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu di Alor Gajah, Melaka, Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Khalid bekata dalam seminar itu polis telah dijemput penganjur untuk memberikan pandangan dari aspek keselamatan.
“Kita telah dijemput untuk memberikan pandangan berkenaan aspek keselamatan, khususnya dalam hal-hal memurtadkan orang Melayu Islam.
“Jadi saya menawarkan, kalau orang yang nak Kristiankan Melayu nak kami berikan pandangan, panggillah. Polis sedia berikan pandangan kami kepada pihak-pihak yang ingin Kristiankan Melayu Islam,” jelasnya lagi.
Bukan berucap dalam forum
Diminta mengulas mengapa tiada tangkapan dibuat jika wujud gerakan mengkristiankan umat Islam di negara ini, Khalid berkata PDRM akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan agam Islam di seluruh negara bagi mengekang gejala tersebut.
“Kita akan bekerjasama rapat dengan jabatan agama Islam negeri dan jika bantuan kita dipohon untuk sama-sama mengambil tindakan terhadap aktiviti mengkristiankan orang Melayu Islam, kita akan bersama-sama ambil tindakan,” jelasnya.
Sabtu lalu, UiTM mengadakan seminar yang dilaporkan melibatkan pembentangan kertas kerja oleh seorang pegawai Cawangan Khas dari Bukit Aman.
Tindakan itu turut dipersoalkan Persatuan Belia Kristian Malaysia kerana pegawai polis terlibat merupakan salah seorang pembentang kertas kerja.
Presidennya Pastor David Ngu berkata, penglibatan polis dalam seminar itu mengecewakan kerana bidang tugas pasukan itu ialah menjaga ketenteraman dan keselamatan negara, bukan berucap di dalam forum seperti itu.
Tahun lepas, UiTM Shah Alam mengadakan seminar mengenai penggunaan perkataan "Allah" dan Kristologi dan hadirin dimaklumkan, paderi Kristian yang menyamar dihantar ke Malaysia untuk menarik orang Islam kepada ajaran agama tersebut dan memurtadkan mereka.

