Bagi meningkatkan kesedaran keselamatan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan pawagam di seluruh negara menyiarkan klip video cara-cara mencegah jenayah.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, video pendek mengenai langkah-langkah mencegah jenayah itu boleh disiarkan sebelum tayangan sesebuah filem.

“Walaupun hanya berdurasi satu minit, klip video itu mampu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenayah yang boleh berlaku di kawasan sekitar mereka,” katanya.

Lee berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Video Cegah dan Makan Tengah Hari Bersama Media di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut Lee berkata impak klip video ini lebih berkesan jika dibandingkan dengan pengedaran risalah berkaitan jenayah.

Kata Lee, kaedah itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial daripada pengusaha pawagam kepada masyarakat umum.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani menyambut baik cadangan itu dan meminta semua pihak memainkan peranan mereka.

"Ini syor yang baik, bukan sahaja di pawagam boleh juga ditayangkan di tempat lain termasuk di sekolah.

"Orang sudah letih baca risalah, secara visual lebih beri impak," katanya.