Bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew menduduki tempat teratas dalam carian trending personaliti Malaysia bagi tahun 2015 dengan mengatasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Google dalam satu pengumannya hari ini menyebut, carian yang menjadi trending itu berkaitan kematian pengasas Singapura itu pada 23 Mac lalu.

Manakala carian mengenai teknik CGI mendiang Paul Walker dalam filem Fast and Furious 7 pula menduduki tempat kedua mendahului Perdana menteri.

Najib, yang menurut Google "semakin mendapat perhatian sejak kebelakangan ini" hanya berada di tempat ketiga, selepas Kuan Yew dan Paul Walker bagi trending personaliti Malaysia 2015.

Sementara itu, pelakon baru Mia Ahmad, yang popular dalam drama 'Hati Perempuan' pula menduduki tempat keempat.

Ia disusuli Anthony Kevin Morais, Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara yang dilaporkan hilang sebelum ditemui mati dibunuh September lalu.

Selain itu, ahli gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi yang mencetuskan kontroversi gara-gara pakaian sukannya juga menjadi carian popular di Google.

Selain itu, personaliti yang dinamakan bagi kategori tersebut adalah pelakon Diana Danielle, personaliti televisyen Amerika, Caitlyn Jenner, pelakon Alexandra Dadario dan Ahli Gusti Amerika, John Cena.

Selain kategori trending Personaliti, Google turut membahagikan beberapa kategori lain iaitu carian pelbagai, terma kewangan, carian bagi model kereta, telefon pintar, permainan, filem, acara sukan, carian berita, destinasi percutian tempatan terkenal dan laman berita terkenal.