Jangkaan - atau mungkin khayalan - bahawa suatu hari nanti manusia akan membeli udara untuk bernafas dengan segar kini semakin menjadi kenyataan.

Sebuah syarikat Kanada yang menawarkan balang udara segar dari Pergunungan Rocky mencatat jualan memberangsangkan di China seiring dengan peningkatan kadar pencemaran di kebanyakan bandar raya negara itu.

Vitality Air baru saja ditubuhkan di Edmonton, Kanada dan memulakan penjualan balang udara segar itu di China kurang dari dua bulan lalu.

Daily Telegraph melaporkan, 500 balang pertama mereka ke China habis dijual dalam tempoh hanya empat hari.

Pengasas bersama Vitality Air Moses Lam berkata ketika ini lebih 4,000 balang lagi sedang dihantar ke China dan menariknya, sebelum ia tiba di negara itu, produk berkenaan sudah hampir habis ditempah.

Satu balang 7.7 liter udara segar diambil dari Taman Negara Banff dijual kira-kira 100 yuan (RM66.60) atau lima kali ganda lebih mahal berbanding sebotol air mineral di China.

Kata Lam, kebanyakan pelanggan mereka adalah penduduk bandar raya utama di timur laut dan selatan China yang memang mengalami pencemaran udara serius.

Semalam agensi berita Xinhua menyiarkan gambar bandar raya Shanghai di China dengan asap tebal dan ia mengecewakan ramai penduduk setempat.

Gambar itu dimuat naik seminggu selepas Beijing mengeluarkan amaran tahap merah mengenai pencemaran di bandar raya berkenaan.

Heavy #smog hit China, again! This time in Shanghai as PM 2.5 hit over 300 Tuesday morning pic.twitter.com/URZVy7rrLN

— China Xinhua News (@XHNews) December 15, 2015

Sebagai langkah kawalan, pihak berkuasa melarang kenderaan menggunakan separuh daripada laluan utama di Beijing.

Untuk makluman, Vitality Air bukanlah syarikat pertama dari Kanada mengeksport udara segar ke China.

Tahun lalu seniman China, Liang Kegang memperoleh lebih RM3,300 untuk satu balang berisi udara yang diambilnya ketika mengadakan urusan perniagaan di selatan Perancis.

Pada 2013 hartawan Chen Guangbiao menjual satu tin udara diambil dari kawasan kurang tercemar di selatan China pada harga kira-kira RM3.30 setiap satu.

Lam berkata, dia memulakan syarikat Vitality Air dengan niat hanya untuk bergurau.

Pada awalnya, Lam dan rakannya Troy Paquette mengisi satu bekas plastik berisi udara dan menjualnya kurang dari £1 di laman sesawang lelongan eBay.

Apabila beg kedua dijual pada harga £105 (RM680.50) Lam menyedari potensi untuk perniagaan itu dikembangkan.

Selain China, Vitality Air turut menjual udara segar dan oksigen di Amerika Utara, India, Timur Tengah namun China kekal sebagai pasaran terbesar mereka.