Google Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) antara yang tersenarai sebagai "Trending Malaysia 2015" bagi kategori carian pelbagai di internet.

Dapatan tersebut sekaligus memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia menggunakan carian Google bagi mendapatkan maklumat mengenai program bantuan kerajaan yang diberikan secara tunai itu.

Selain BR1M, carian berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) turut tersenarai dalam 10 carian teratas bagi kategori carian pelbagai di Google.

GST merupakan sistem cukai yang mula diperkenal kerajaan pada 1 April tahun lalu, namun mendapat kritikan pembangkang serta dibantah kebanyakan rakyat Malaysia.

Turut berada dalam senarai teratas adalah carian mengenai Perhimpunan Bersih 4.0 yang berjaya menarik puluhan ribu rakyat ke jalan raya pada malam 31 Ogos lalu.

Himpunan tersebut mengemukan beberapa tuntutan berhubung pembersihan pilihan raya, termasuk menggesa perdana menteri berundur daripada jawatannya.

Himpunan itu juga buat kali pertama mendapat sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad- pengkritik hebat Datuk Seri Najib Razak sejak tahun lalu.

Turut berada dalam 10 kategori teratas adalah carian mengenai portal perkhidmatan kerajaan, HRMIS 2.0, laman " How-Old.net ", program Maharaja Lawak Mega, Filem Fast & Furious 7 , drama Hati Perempuan, carian "1 USD to MYR" dan WhatsApp Web .

Selain kategori carian pelbagai, Google meletakkan beberapa kategori lain iaitu kategori trending personaliti bagi tokoh terkenal, terma kewangan seperti kadar tukaran wang, carian bagi model kereta, telefon pintar, permainan, filem, acara sukan, carian berita, destinasi percutian tempatan terkenal dan laman berita terkenal.