Kerajaan akan membuat semakan semula ke atas Bajet 2016 sekiranya harga minyak mentah Brent terus jatuh di bawah paras AS$48 satu tong kerana perancangan perbelanjaan negara disandarkan kepada andaian harga Brent yang dianggap munasabah pada waktu itu.

Bagimanapun menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar, kerajaan menjangka terdapat potensi harga minyak mentah akan naik tahun depan.

"Kerajaan perlu mengoptimumkan pelan pembangunan negara sekiranya harga minyak terus berada di paras rendah...dan ini termasuk, sekiranya perlu, menyemak semula beberapa projek yang sudah diumumkan sebelum ini.

"....Berdasarkan harga minyak semasa, Brent ketika ini kira-kira AS$10 satu tong lebih rendah daripada andaian sebelum ini dan sama ia akan kekal atau hanya kejatuhan sementara, ia akan terus dipantau," katanya yang dipetik portal Berita Harian .

Harga Brent pada dagangan tengahari tadi berada pada AS$37 setong.

Wahid juga dilaporkan berkata, semakan semula Bajet 2016 hanya akan dibuat sekiranya harga minyak mentah jatuh di paras kritikal.

"Kalau kita mahu ubah bajet berdasarkan perubahan harga harian....ia mesti bersandarkan kepada andaian harga berpandukan arah aliran," katanya kepada portal itu.

Mengulas langkah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat yang menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lewat malam tadi, Wahid berkata keputusan bank pusat itu adalah dijangka dan dinantikan, selain dalam jangkaan kebanyakan penganalisis.

Katanya, negara sudah mengambil kira andaian peningkatan itu dan menjangka ringgit akan diniagakan stabil pada kadar purata RM4.20 berbanding dolar.

"Saya tidak bersetuju langkah kenaikan kadar faedah itu akan menjurus kepada aliran keluar modal dari Malaysia. Pokoknya, pelaburan dibuat di Malaysia kerana kestabilannya, kekukuhan asas mikroekonomi, dan sebagainya.

“Saya kira ia akan berterusan kerana kita memiliki asas ekonomi, sumber dan dan pasaran eksport yang pelbagai, selain disiplin fiskal," katanya.