Tribunal Pengguna Kuala Lumpur mengarahkan seorang peniaga telefon bimbit untuk memulangkan kembali RM5,000 kepada seorang pengguna yang dipaksa membayar sejumlah wang itu selepas "dikurung" selama empat jam oleh peniaga itu.
Dipres Nasution Mohd Arifin berkata dia dikurung di Kompleks Kotaraya, Kuala Lumpur, selepas enggan membeli empat telefon bimbit pada harga mencecah RM10,000 berbanding harga asal dipersetujui iaitu sebanyak RM800.
"Selepas keputusan itu, pengadu bersama wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pergi ke kedai berkenaan untuk membuat tuntutan.
"Peniaga mengembalikan RM5,000 manakala pengadu memulangkan semula empat telefon bimbit," kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Alias Ahmad dalam satu kenyataan.
Dipres Nasution dilaporkan berkata dia pada mulanya tertarik dengan tawaran membeli sebanyak empat telefon bimbit pada harga RM200 setiap satu tetapi kemudiannya diminta membayar RM10,000.
Alias berkata keputusan itu dibuat pada Selasa lalu manakala aduannya dibuat pada 24 November.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa kementerian itu gagal bertindak ke atas kes tersebut.
