Mufti: Dr Mahathir pernah minta saya satukan PAS-Umno
Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memintanya supaya mencari jalan bagi menyatukan PAS dan Umno.
Katanya, beliau menerima cadangan Dr Mahathir itu dan terus berjumpa dengan PAS dan Umno.
Dan hasil pertemuan itu ada 'sinar', kata Harussani dalam laporan Sinar Harian.
"Saya juga telah diminta dulu oleh Dr Mahathir, beliau sendiri suruh cari jalan agar dapat menyatukan (PAS-Umno)," katanya.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak juga ada berbincang dengan beliau perkara sama.
"Alhamdulillah saya pernah menemui orang ini dan semuanya, bersetuju untuk dapat kita bersatu, insya-Allah," kata Harussani kepada pemberita ketika ditemui di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 semalam.
Ketika diminta mengulas mengenai erti 'ada sinar' itu, mufti Perak itu berkata perkara itu mungkin boleh dibawa ke meja perbincangan lagi.
"Saya lihat ada titik pertemuan mungkin caranya boleh dibincangkan kemudian.
"Alhamdulillah saya merasakan ada kesedaran di antara ahli-ahli politik kita dalam negara kita baik dari segi Umno atau PAS, mereka semuanya bersemangat Islam semuanya," katanya.
Polemik antara kesepaduan PAS dan Umno muncul semula selepas perdana menteri yang juga merupakan presiden Umno 'menghulurkan tangan' untuk menjalinkan kerjasama antara kedua parti itu semasa Perhimpunan Agung Umno lalu.
Najib mengulangi pelawaan tersebut semasa berucap di m ultaqa serantau itu semalam.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.