MCA diminta jelaskan tambahan sesi BM di sekolah Cina
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan meminta MCA berdepan dengan masyarakat Cina untuk menjelaskan sebab-sebab mengapa parti itu menyokong penambahan dua sesi (60 minit) bagi darjah tiga sekolah Cina, untuk mengajar Bahasa Malaysia dan bukannya Bahasa Cina.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan meminta MCA berdepan dengan masyarakat Cina untuk menjelaskan sebab-sebab mengapa parti itu menyokong penambahan dua sesi (60 minit) bagi darjah tiga sekolah Cina, untuk mengajar Bahasa Malaysia dan bukannya Bahasa Cina.
Akhbar
Oriental Daily News
yang menyiarkan laporan itu di muka A8 (Nasional) memetik Lim sebagai berkata mungkin masyarakat Cina tidak puas hati dengan keputusan Kementerian Pelajaran itu, tetapi MCA sepatutnya mengambil tanggungjawab yang lebih besar.
"Di bawah sistem penyelarasan Barisan Nasional (BN), arahan yang tidak adil seperti ini tidak akan diluluskan tanpa persetujuan MCA. Oleh itu, adalah jelas persetujuan MCA perlu diperolehi sebelum Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan yang mempengaruhi sekolah Cina," ujarnya.
Menurutnya, dua sesi kelas yang ditambah atas arahan Kementerian Pelajaran itu seharusnya digunakan untuk mengajar Bahasa Cina yang kehilangan tiga sesi kelas di bawah Formula 2-4-3.
Lim berkata, penggunaan dua sesi kelas tambahan itu untuk pengajaran Bahasa Malaysia, dan bukannya Bahasa Cina adalah tidak demokratik, tidak adil, dan tidak boleh diterima.
Katanya, ini kerana Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim atau Kementerian Pelajaran tidak berbincang dengan Dong Jiao Zong (mengenainya) sebelum ini.
Sehingga hari ini, katanya, tiada siapa yang tahu sebab dan logiknya Hon tidak menggunakan dua sesi kelas tambahan itu untuk mengajar Bahasa Cina.
Beliau juga menggesa Hon supaya memberikan penjelasan terhadap perkara ini.
"Empat subjek yang diajar dalam Bahasa Cina Bahasa Cina, Matematik, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Jasmani telah dikurangkan sebanyak enam sesi kelas. Enam sesi kelas ini yang hilang pada tahun 2005, masih belum digantikan," ujar Lim.
6 Sekolah Cina dibuka semula Januari ini
Manakala akhbar Sin Chew Daily dalam laporannya di muka 6 (Dalam Negeri), memetik Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim sebagai berkata, lima sekolah Cina yang dibenarkan berpindah dan sebuah lagi yang dibina semula di tapak yang sama, akan mula digunakan mulai Januari ini.
Katanya, semuanya adalah sekolah Cina yang diizinkan Kementerian Pelajaran untuk berpindah pada tahun 1999.
Bercakap dalam sidang akhbar selepas mengunjungi bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Taman Connaught(2) semalam, beliau berkata terdapat 400 sekolah Cina bersaiz kecil di negara ini, dengan bilangan pelajar kurang daripada 150 orang.
Menurutnya lagi, sekolah Cina bersaiz kecil yang ingin berpindah sedang berusaha mencari tapak yang sesuai. Manakala sebuah sekolah Cina di Melaka yang sudah berpindah, akan buka secara rasmi Januari ini.
Sementara itu, dua daripada 15 sekolah Cina bersaiz kecil dengan bilangan pelajarnya kurang 10 orang enggan berpindah. Bagaimapun, kerajaan menghormati keputusan pengelola kedua-dua sekolah terbabit.
Menurut Hon lagi, kerja pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kepong (3) belum dapat dimulakan kerana terdapat syarikat pemaju yang sedang menjalankan kerja-kerja meletupkan batu.
Difahamkan, pembinaan sekolah tersebut akan dimulakan selepas selesai kerja-kerja meletup batu itu.
3E kembalikan 'sinaran' Pulau Pinang
Akhbar Nanyang Siang Pau pula menyiarkan di muka A4 (Nasional) bahawa kempen untuk mengembalikan 'sinaran' Pulau Pinang akan dimulakan dengan kerja pembersihan bangunan kerajaan.
Berikutan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata kerajaan negeri memutuskan untuk melancarkan strategi 3E, iaitu kecekapan, penguatkuasaan dan pendidikan.
Katanya, strategi 3E ini akan mula dilaksanakan di bangunan kerajaan negeri seperti Kompleks Tun Abdaul Razak (Komtar), badan pembangunan Pulau Pinang, kawasan perumahan majlis perbandaran, pasar awam, pusat penjaja dan taman untuk dijadikan contoh.
Bercakap dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan anggota awam Pulau Pinang semalam, Dr Koh berkata, strategi kecekapan termasuk meningkatkan kecekapan pengurusan kerja pembersihan, pembangunan semula bangunan yang lama dan usang serta melancarkan kempen kitar semula.
"Dalam strategi pendidikan, budaya kebersihanan akan dipupuk melalui perubahan sikap dan amalan oleh keluarga, sekolah, organisasi, dan badan bukan kerajaan," ujarnya.
Menurut Koh, strategi penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan menentukan punca pencemaran dan selepas itu, penguatkuasaan yang keras dan adil akan dijalankan dengan memberi nasihat dan amaran sebelum tindakan diambil.
Beliau percaya jika strategi 3E mendapat kerjasama semua pihak, 'sinaran' Pulau Pinang akan dapat dipulihkan.

