Kira-kira 200 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi 300km/j akan berarak sambil berselawat pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang kali ini diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang Khamis ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Razali Shahabudin berkata motosikal itu akan berarak sejauh 1.8 kilometer bermula dari kawasan pintu hadapan MAEPS hingga Dewan A MAEPS.

Bercakap kepada media sempena prapelancaran majlis sambutan hari ini, beliau berkata 125 kontinjen daripada pelbagai agensi awam dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, badan bukan kerajaan dan pelajar akan turut menyertai perarakan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah akan turut berangkat, katanya.

Yang akan turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansur, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid serta menteri kabinet lain.

Razali berkata kira-kira 11,000 orang akan turut hadir bagi meraikan sambutan yang kali ini bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara'.

Beliau berkata seorang penerima akan dikurniakan Anugerah Perdana dan lapan lagi Anugerah Maulidur Rasul.

- Bernama