Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali menjangkakan kerjasama politilk antara PAS dan Umno sukar menjadi kenyataan.

Ibrahim berkata, ini kerana Umno merupakan parti nasionalis manakala PAS adalah parti Islam.

"Kalau Umno dan PAS bersatu lebih baik, tetapi saya tidak fikir wujud kerjasama politik antara Umno dan PAS sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Umno nasionalis, PAS parti Islam. PAS tidak mudah untuk pimpinannya membawa madah bekerjasama. Realitinya ada halangan," katanya.

Bagaimanapun bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu berharap kerjasama antara dua parti itu akan tetap berlaku di luar lingkungan politik.

"Saya harap PAS dan Umno bekerjasama di luar isu politik," katanya, ketika sidang media selepas perasmian mesyuarat agung PERKASA di Pusat Islam di Kuala Lumpur hari ini.

Wakil PAS turut hadir bersama-sama perwakilan Perkasa dalam perasmian yang dilakukan oleh Tan Sri Sanusi Junid.

Mereka adalah Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali.

"Walaupun wakil PAS hadir, PERKASA sekarang ini sejak dulu tidak memihak mana-mana parti politik.

"Kita nak tengok PAS mampu jadi parti progresif, menjadi harapan rakyat, Bumiputera, Melayu, Islam boleh menjamin kelangsungan survival negara," kata Ibrahim.

Ibrahim yang pernah bertanding atas tiket PAS dalam pilihan raya sebelum ini juga berkata, berbeza seperti ahli Umno, halangan daripada ahli-ahli PAS juga tidak memungkinkan kerjasama politik kedua-dua parti itu akan berjaya.

"Sukar untuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meneruskan kerjasama politik, berbeza seperti Umno, ahli-ahli mereka menurut kata presiden," katanya.

Lihat Komen
ADS