Jumlah mangsa banjir Selangor dan Perak kekal di pusat pemindahan di negeri masing-masing setakat pagi tadi.

Jumlah mangsa banjir di Selangor kekal 15 orang daripada empat keluarga setakat pukul 7 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata semua mangsa banjir itu ditempatkan di Surau Kuning Blok B, Sawah Sempadan, Tanjong Karang.

"Mangsa terdiri daripada empat lelaki dewasa, seorang warga emas lelaki, tiga perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan," kata Mohd Sani dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Kawasan kediaman mangsa terbabit masih dinaiki air setinggi 0.1 meter hingga 0.3 meter.

Sementara, itu jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di Beruas, Perak kekal seramai 38 orang daripada sembilan keluarga setakat pagi ini.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Kolonel (PA) Mohd Noor Hassan Ashari berkata mangsa terdiri daripada sembilan lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan.

"Kesemua mangsa dari Kampung Padang Serai, Batu Hampar itu ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Radhuaniah," Mohd Noor dipetik sebagai berkata.

Katanya banjir di kampung berkenaan berpunca daripada air yang bertakung berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.

Manakala di Kota Kinabalu, seramai 21 mangsa banjir daripada lima keluarga di Kampung Pantongan Saga, Tenom, dipindahkan ke pusat pemindahan banjir Rumah Kebudayaan Pantongan Saga, malam tadi akibat limpahan air Sungai Padas.

Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layapan dilaporkan berkata paras air Sungai Padas di Tenom masih pada paras amaran namun telah menurun daripada 176.45 meter malam tadi kepada 176.34 meter pada 6 pagi tadi.