Isa Samad: Mazlan tak pernah menang, bicara semua kalah

   

Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang dilihat sering menyerang agensi kerajaan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan Mazlan bahawa Felda 'telah miskin' dan tabung kebajikannya hampir tidak berfungsi.

Pada masa sama, Isa turut menyindir Mazlan yang didakwanya tidak pernah menang sebarang perbicaraan dalam kes melibatkan Felda.

"Saya tidak puas hati dengan dia ni. Bicara sudah banyak kali kalah (bicara). Saya tak payah jawab (soalan Mazlan). (Dia) Tidak pernah menang, bicara semua kalah.

"Dia sudah bayar (saman) pada Felda pun kita tidak tahu," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Graduasi Kolej Yayasan Felda di Dewan Perdana Felda hari ini.

Ahli Parlimen Jempol turut menganggap kritikan Mazlan terhadap Felda seperti 'angin lalu'.

"Dia pun entah apa parti pun kita tidak tahu. Sama ada Pas ke Parti Amanah Negara (Amanah) pun tidak berapa jelas. Macam angin lalu lah pandangan dia itu," tegasnya.

Mei lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Mazlan dan Syarikat Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd untuk membayar ganti rugi RM350,000 kepada Felda kerana memfitnah lembaga itu dalam sebuah buku bertajuk "FELDA... Dulu tolong Sekarang Ah Long".

Mazlan diarah membayar kos guaman sebanyak RM150,000 kepada Felda.

Minggu lalu, dalam laporan sebuah portal, Mazlan turut mendakwa kontraktor yang membuat kerja untuk Felda mengeluh kerana bayaran terlalu lembab sehingga tertangguh sehingga lima ke enam bulan.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In