'Diandaikan' jumpa Justo, Khairudin ancam saman
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyelar laporan mendakwa beliau antara yang bertemu Xavier Andre Justo yang disabit kesalahan memeras PetroSaudi International - syarikat usaha sama 1MDB pada 2009.
Menyifatkan pihak terbabit sebagai “penyangak”, bekas naib ketua bahagian Umno Batu Kawan itu berkata dakwaan itu fitnah dan tidak berasas.
“Seumur hidup tidak pernah mengenali atau berjumpa dengan Justo (
gambar
) sepertimana yang ditulis oleh mereka dengan niat jahat untuk memfitnah serta mencemarkan kredibiliti keperibadian saya.
“Mereka ini adalah kalangan desperado (golongan terdesak) yang cuba mereka-cipta fakta yang tidak benar,” katanya.
Laman pro-Datuk Seri Najib Razak MYKMU melaporkan Khairuddin antara 10 individu yang mengadakan perjumpaan dengan Justo.
MYKMU bagaimanapun menjelaskan hanya melaporkan ia “sekadar andaian” selain membangkitkan dari mana Justo mendapat dokumen berkaitan.
Khairuddin dan peguamnya Matthias Chang, yang juga bekas pegawai Tun Dr Mahathir Mohamad, berdepan dakwaan mensabotaj institusi kewangan dan perbankan Malaysia dengan membuat laporan polis di Singapura, Hong Kong dan United Kingdom.
Menulis di Facebook hari ini, Khairuddin mencabar penulis blog Raja Petra Kamaruddin dan MYKMU membuktikan dakwaan itu atau berdepan tindakan undang-undang.
“Saya sedang mengarahkan peguam untuk membuat penelitian terhadap kenyataan fitnah yang dibuat oleh penyangak Raja Petra serta blog MYKMU di dalam penulisan mereka yang tidak berasas sama sekali.
“Pihak barisan peguam saya sedang membuat penelitian keatas kenyataan yang berunsur fitnah itu,” tegasnya.

