Kumpulan pendesak Melayu PERKASA sekali lagi akan membuat laporan polis berhubung dakwaan di laman sosial Facebook tahun lalu bahawa NGO itu terbabit dalam membakar gereja.

Ketua Wira PERKASA, Irwan Fahmi Idris berkata tindakan tersebut diambil bagi mendesak pihak berkuasa polis segera membuka kertas siasatan sekali gus membuat tangkapan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah itu.

Kata Irwan, laporan itu juga dibuat kerana mendakwa ada pihak sengaja membangkitkan isu tersebut setiap kali menjelang perayaan Krismas yang dipercayai untuk membangkitkan kemarahan penganut agama Kristian dan Islam.

“Kita pergi kali ini sebagai gesaan kepada pihak polis supaya segera buka kertas siasatan, kerana setiap kali Krismas kejadian dan isu yang sama dibangkitkan. Jadi, kami mahu polis menyiasat perkara ini dan dipanjangkan kepada SKMM,” katanya kepada Malaysiakini .

Laporan polis tersebut akan dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi sekitar jam 3.00 petang ini.

PERKASA pada Disember 2014 membuat satu laporan polis berikutan dakwaan pihaknya akan membakar sebuah gereja di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur selepas berita berkenaan disebarkan melalui Facebook.

Pemilik akaun itu yang menggunakan nama 'Ayahnda Raja Provokasi' mendakwa insiden itu melibatkan PERKASA selain turut memuat naik sekeping gambar.

Bagaimanapun, PERKASA menafikan dakwaan itu dan kesal kerana tiada tangkapan dibuat sehingga hari ini.

“Kami pelik bila orang mengata PM ada sahaja tangkapan dibuat tetapi bila ada pihak yang menghina Islam tiada tangkapan dilakukan,” kata Irwan.