Umno minta MB dedah penderma naik taraf pintu gerbang

   

Di tengah-tengah kontroversi dan kekeliruan berhubung derma RM2.6 bilion yang dipindahkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pembangkang pula sedang berdepan dengan kemelut ‘derma’ mereka sendiri.

Ini berhubung dana RM9.8 juta untuk menaik taraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan yang berdiri megah di sepanjang Lebuh Raya Persekutuan yang menandakan sempadan antara Selangor dan Kuala Lumpur.

ADUN Dengkil Shahrum Mohd Sharif menuntut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menjawab dua soalan penting berhubung perkara itu.

Pertama, wakil rakyat Umno itu berkata Azmin mesti mendedahkan secara terperinci bagaimana kos naik taraf boleh menjadi begitu tinggi dan kelihatan agak tidak realistik.

Keduanya, kata beliau, mengapa baru sekarang timbul jawapan kos tersebut ditanggung oleh penderma.

“Jika benar ada penderma maka dedahkan… Saya agak hairan mengapa jawapan ditanggung oleh penderma tiba-tiba muncul.

“Bagi saya apapun pihak Kerajaan Negeri Selangor perlu menerangkan kepada rakyat apa yang menyebabkan kos naik taraf mencecah sehingga RM9.8 juta. Rakyat berhak untuk mengetahui,” katanya kepada portal Umno-Online .

Semalam, ADUN Taman Medan, Haniza Talha menjelaskan kerja menaik taraf pintu gerbang itu adalah dibiayai oleh sumbangan orang ramai.

“Gerbang ini telah ditempah oleh Sultan Selangor dan kosnya telah ditanggung melalui derma. Nama-nama penderma akan diukirkan di pintu tersebut.

“Pada masa ini, kerajaan negeri Selangor hanya mendahulukan pembayaran dan akan dibayar semula oleh penderma supaya kerja-kerja naik tarif boleh dimulakan segera,” kata timbalan Ketua Wanita PKR itu.

Haniza berkata projek pintu gerbang Kota Darul Ehsan itu diluluskan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim melalui tender terbuka dua tahun lalu kepada pembida dengan harga kontrak terendah.

Sementara itu, Shahrum berkata jika benar tiada berlaku sebarang ketirisan, maka kerajaan negeri Selangor tidak perlu bimbang untuk memberi penjelasan dan menjawab perkara yang dibangkitkan oleh pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali CheguBard.

“Jawapan kos tersebut sudah diluluskan di DUN bukanlah satu jawapan yang bijak kerana tiada perincian yang didedahkan. Kalau jumlahnya kecil mungkin tidak menjadi isu tetapi ini melibatkan jumlah wang yang banyak.

“Tapi saya berharap jangan pula kerajaan negeri menyalahkan Umno bila soal ini dibangkitkan. Perkara ini tidak ada kena mengena dengan Umno. Kita cuma mahu tahu…,” sindir Shahrum.

Sebelum ini, Badrul Hisham berkata, pentadbiran sekarang seharusnya menggunakan dana berkenaan untuk tujuan lebih baik demi kepentingan rakyat.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In