Hassan Ali menang kes saman RM200,000 ke atas Mahfuz
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Hasan Ali kerana memfitnah bahawa ceramahnya kira-kira tiga tahun lalu mendapat tajaan daripada Kementerian Belia dan Sukan.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, membuat perintah itu selepas membenarkan tuntutan saman Hasan selaku plaintif dan mendapati Mahfuz (defendan) bertanggungjawab memfitnahnya.
Beliau turut memerintahkan bekas naib presiden PAS itu membayar kos sebanyak RM30,000.
Nor Bee dalam penghakimannya berkata, Hasan berjaya membuktikan bahawa Mahfuz mempunyai niat jahat ketika mengeluarkan kenyataan fitnah itu.
Beliau berkata, defendan tidak boleh menggunakan perlindungan bersyarat kerana beliau tidak mendapatkan penjelasan daripada plaintif dan Kementerian Belia dan Sukan sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan.
Katanya, perkataan fitnah oleh defendan jika dibaca secara keseluruhannya boleh menyebabkan plaintif dipandang serong oleh masyarakat.
Hassan memfailkan saman itu pada 12 April 2012 dengan menamakan Mahfuz sebagai pihak defendan berikutan tindakan ahli politik pembangkang itu mengadakan satu sidang akhbar pada 2 Mac tahun sama di Ibu Pejabat PAS dan ia diterbitkan di beberapa akhbar serta laman portal.
Sehubungan itu, Hasan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan satu injunksi bagi menghalang Mahfuz daripada mengulangi kata-kata fitnah itu.
Kedua-dua mereka tidak hadir di mahkamah.

