Seramai 14 orang imam di Perlis ditamatkan perkhidmatan tahun ini atas sebab-sebab tertentu, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Sumber Manusia Negeri, Khairi Hassan.

Beliau berkata tiga orang daripada mereka ditamatkan perkhidmatan atas sebab kesihatan sementara enam lagi memohon sendiri untuk berhenti.

Selain itu empat orang ditamatkan perkhidmatan kerana gagal menjalankan tugas dengan memuaskan hingga sering menjadi rungutan anak jemaah, katanya.

Beliau berkata seorang lagi imam ditamatkan perkhidmatan setelah melepasi had umur 60 tahun seperti peruntukan Seksyen 102 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis 2006.

- Bernama