Lima lelaki dikhuatiri sesat semasa melakukan aktiviti mencari burung di Hutan Kampung Hulu Bongor dekat Gerik sejak Isnin lepas ditemui selamat, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahya Madis.
Katanya mereka yang dikenal pasti iaitu Rosli Supiyan, 42, Zakaria Mokhtar, 28, Husaini Rafei, 20, Zulfazli Abd Majid, 36, dan Mohd Zahid Mohd Maznan, 19, kesemuanya dari Kampung Bongor ditemui kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mereka hilang, pukul 7.15 malam ini.
"Anggota bomba sedang membawa mangsa keluar dari hutan itu yang mengambil masa tiga atau empat jam berdasarkan bentuk muka bumi dan cuaca yang gelap," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Bomba, Penguasa Bomba Zon 2 Perak, Mohamed Habib Mohamed Dali berkata mangsa ditemui dalam keadaan lemah oleh anggota bomba.
"Setibanya di pusat kawalan bomba, mangsa akan diperiksa sebelum dibawa ke Hospital Gerik untuk menerima rawatan lanjut," katanya.
Mangsa dikatakan masuk ke hutan itu sejak Isnin lepas untuk melakukan aktiviti mencari burung dan kebiasaannya mereka akan pulang ke rumah hari yang sama sebelum waktu Maghrib.
Polis menerima panggilan kehilangan mangsa daripada ketua Kampung Bongor pada 8.30 malam tadi dan operasi mencari dan menyelamat bermula pukul 8 pagi tadi.
Operasi yang dijalankan melibatkan 10 anggota bomba bersama-sama dua anggota polis dan 22 anggota pasukan Rela.
Keluasan hutan tersebut adalah 500 kilometer persegi dan skop pencarian adalah 10 kilometer persegi.
Sementara itu di Johor Bahru, dua remaja lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan perairan Desaru, dekat Kota Tinggi lewat petang semalam, ditemui mati lemas di pantai itu hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata mangsa adalah Albar Donar dan Misran Osman, kedua-duanya berusia 16 tahun.
"Mayat Albar ditemui berhampiran pantai itu pada pukul 10.34 pagi manakala mayat Misran pula pada 12.15 tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi.
Mohd Fadli berkata sebaik menerima laporan kejadian itu pada 7.24 malam 17 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air dihantar untuk melakukan gerakan mencari dan menyelamat mulai 8 malam tadi.
Kedua-dua mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya. .
- Bernama
