Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
YAPEIM serah sumbangan pada keluarga mangsa lemas

Mohd Hasif Abdul Halim yang kini yatim piatu apabila ibu dan bapa serta tiga kakaknya mati lemas di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, Sabtu lepas, hari ini menerima sumbangan kewangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Sumbangan berjumlah RM4,800 itu adalah sebagai bantuan pendidikan kepada Mohd Hasif, 9, yang terselamat daripada tragedi tersebut.

Bantuan disampaikan Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM Datuk Abibullah Samsudin kepada ibu saudara kanak-kanak itu, Dr Siti Sabariah Samian di Klang.

Abibullah berkata bantuan kewangan itu adalah hasil amal jariah orang ramai yang dikumpul yayasan berkenaan dan ia akan disalurkan secara bulanan iaitu sebanyak RM200 selama dua tahun.

"Sejak program bantuan diperkenalkan pada 2010, sejumlah RM3.7 juta telah kita agihkan kepada 407 keluarga melibatkan 1,252 anak-anak yang kehilangan ibu bapa secara mengejut dalam kemalangan dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini Jumaat. Dalam kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi Sabtu lepas, ibu bapa Mohd Hasif, Abdul Halim Samian, 44, dan Nurul Adila@Salawati Awang, 39, mati lemas ketika mandi di kawasan rekreasi itu.

Turut lemas, tiga lagi anak pasangan berkenaan, Nurul Arifah, 16, Nurul Aina, 11, dan Nurul Izah, 10.

Sementara itu, Dr Siti Sabariah berkata Mohd Hasif merupakan seorang kanak-kanak yang tabah dan tenang.

"Mohd Hasif semakin sihat, sudah makan seperti biasa dan dia juga tidak lagi menyebut mengenai tragedi yang menimpa ibu bapa dan kakak-kakaknya.

"Saya sentiasa pesan kepada Mohd Hasif, setiap yang pergi pasti akan ada pengganti yang lebih baik...saya harap dapat menjaga beliau seperti mana abang saya (Abdul Halim) menjaganya dahulu," katanya.

Dr Siti Sabariah berkata beliau akan memastikan kanak-kanak itu membesar dengan baik sehingga menjadi seorang tahfiz dan jurutera seperti yang diimpikan keluarga Mohd Hasif sebelum ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS