Pemuda AMANAH bidas DAP selar sekatan ke atas atlet Israel

   

Langkah sekatan ke atas peserta luncur angin dari Israel dalam Kejohanan Perahu Layar Remaja Dunia Persekutuan Perahu Layar Antarabangsa 2015 (ISAF YWC 2015) di Langkawi, Kedah adalah perlu sebagai tanda protes terhadap kezaliman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata tindakan protes terhadap Israel perlu diterjemahkan dalam setiap perkara, bukan hanya sukan semata-mata.

"Tindakan ini disambut baik sebagai sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi oleh kerajaan haram Israel secara berterusan dengan cara yang amat tidak bertamadun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Mohd Fakhrulrazi turut membidas kenyataan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin semalam yang mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

Katanya kenyataan Chong telah mengguris hati rakyat khususnya umat Islam dan pencinta keamanan sejagat yang sangat peduli dengan nasib rakyat Palestin.

"Sebagai rakan gabungan Pakatan Harapan, kami berhak menegur DAP dalam hal ini kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Kami sangat mengharapkan agar DAP lebih berhati-hati dalam megeluarkan sebarang kenyataan dan pandangan khususnya melibatkan sensitiviti umat Islam dan hukum hakam agama," katanya.

Chong semalam dilaporkan berkata sukan sepatutnya melampaui sempadan politik dan perlu berkecuali daripada politik.

ISAF YWC 2015 yang berlangsung hari ini hingga 3 Jan 2016 menerima penyertaan 446 pelayar muda dari 80 negara termasuk Brazil, Argentina, Mexico, Rusia dan Afrika Selatan.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In