TPM: Hormati agama lain untuk orang lain hormati agama kita
Seluruh rakyat Malaysia perlu menghormati agama orang lain untuk memastikan agama mereka dihormati, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perayaan yang diraikan secara bersama rakyat negara ini seperti Krismas merupakan sebuah manifestasi bahawa seluruh rakyat Malaysia, walaupun berbeza pegangan agama, mampu menghormati agama orang lain.
"Perbezaan pegangan agama kepada kita ia adalah merupakan suatu keistimewaan untuk penganut-penganut semua agama, dalam al-Quran menyebutkan 'you are with your religion i'm with my religion' (untukmu agamamu, dan untukku agamaku).
"Keharmonian kita kekalkan biarpun kita berbeza agama, berbeza keturunan, kebudayaan, bahasa dan latar belakang namun sebagai rakyat Malaysia kita kekal dan kukuhkan keharmonian dan perpaduan ini sampai bila-bila," katanya berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2015 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir malam tadi.
Turut hadir isterinya Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup; dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Ahmad Zahid berkata hasrat pemimpin terdahulu untuk rakyat Malaysia bersama mempertahankan kebersamaan, keharmonian dan kesejahteraan haruslah difahami secara mendalam terutama generasi masa kini.
Beliau berkata pemimpin terdahulu melalui pelbagai kesukaran untuk memperoleh kemerdekaan dan usaha mengekalkan kesejahteraan serta kejayaan melalui kemerdekaan dicapai itu juga sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan tanpa kebersamaan.
Justeru katanya menjadi tanggungjawab semua pemimpin sama ada pemimpin parti politik, badan bukan kerajaan serta masyarakat untuk menterjemahkan kebersamaan itu untuk diikuti semua rakyat Malaysia.
"Tidak harus tidak keharmonian dan kesejahteraan kita harus dipertahan dengan kebersamaan demi keamanan dan kesejahteraan negara kita," katanya.
- Bernama

