Poster disebar dakwa AMANAH Perak sokong pemimpin DAP
Satu poster disebarkan di internet mendakwa Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak menyokong kenyataan seorang pemimpin DAP negeri itu berhubung sekatan terhadap atlet Israel baru-baru ini.
Poster tersebut berbunyi "Amanah Bersama DAP Perak Menyokong Kehadiran Atlet Luncur Israel" beserta gambar Pengerusi AMANAH negeri, Asmuni Ani dan logo parti itu.
Setiausaha AMANAH Perak, Salman Saleh berkata pihaknya kecewa dengan sebaran poster tersebut dan mendakwa ia mencemar nama baik AMANAH serta reputasi Asmuni sendiri.
"Kenyataan kononnya kami menyokong keterlibatan Israel adalah satu tindakan yang melampau serta mempunyai agenda memburukkan imej parti yang baru bertapak ini.
"Kami sedang berbincang dengan peguam untuk mengenakan tindakan undang-undang sekiranya individu serta pihak yang menyebarkan poster palsu itu tidak memohon maaf serta menarik balik muatnaik tersebut," katanya pada kenyataan media.
Salman mendakwa, poster fitnah itu turut dikongsi laman Facebook rasmi Dewan Pemuda PAS Malaysia hingga mendorong lebih ramai lagi mempercayainya.
Beliau menegaskan AMANAH Perak menyokong sepenuhnya tindakan Kementerian Belia dan Sukan mengenakan sekatan terhadap atlet Israel yang dijadualkan mengambil bahagian dalam satu kejohanan di Langkawi.
"Kami secara tegas sangat kecewa kenyataan Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin yang menyelar tindakan Khairy, kononnya menteri itu menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.
"Amanah Perak menasihatkan agar pimpinan DAP khususnya di negeri Perak lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan lebih-lebih lagi dalam hal sensitiviti agama," katanya.
Dalam pada itu, Salman berkata AMANAH Perak menyambut baik penegasan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming bahawa kenyataan itu tidak mencerminkan pendirian parti di negeri itu.
"DAP Perak juga berpendirian tegas menolak keganasan dan penindasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
"Namun, kami tetap akan meminta DAP Perak memberikan penjelasan kepada kami di dalam mesyuarat Pakatan Harapan yang akan datang,"katanya.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
