Amaran serangan di Eropah sebelum tahun baru
GLOBAL Sebuah perkhidmatan risikan memberi amaran kepada beberapa ibu negara Eropah tentang kemungkinan serangan baru yang akan dilakukan pengganas sebelum sambutan Tahun Baru 2016.
Pihak polis Austria berkata, serangan itu mungkin akan dilakukan dalam bentuk tembakan atau serangan bom, lapor The Independant .
Ibu negara Eropah tersebut tidak dinamakan namun langkah-langkah keselamatan di Vienna telah ditingkatkan.
Polis bandar tersebut berkata amaran telah diperincikan dan kemungkinan serangan berlaku antara Krismas dan Tahun Baru di "tempat yang sesak".
"Beberapa nama yang berpotensi sebagai penyerang telah disebut, yang sudah diperiksa, dan siasatan berkaitan (pemeriksaan ini) setakat ini belum memberikan sebarang hasil konkrit," kata polis Vienna dalam satu kenyataan.
Perancis masih kekal dalam keadaan darurat berikutan serangan kejam pengganas di Paris enam minggu lalu yang mengorbankan 130 orang.

