Dan Newsmaker 2015 ialah...

   

Sepertimana tahun-tahun sebelumnya, Malaysiakini menamakan Newsmaker apabila kita melabuhkan tirai pada hujung tahun.

Newsmaker ditakrifkan sebagai 'seseorang yang tindakannya menjadi tajuk berita, yang memberi kesan kepada wacana awam dan memberi impak kepada politik Malaysia, ke arah yang lebih baik atau lebih teruk lagi'.

Malaysiakini telah menyenaraikan 10 calon bagi anugerah Newsmaker 2015. Seramai 1,140 pembaca mengambil bahagian dalam pengundian tersebut, yang hanya dibuka kepada pelanggan berbayar portal berita ini.

Mereka mengundi dengan menunjukkan keutamaan pilihan mereka bagi setiap calon - satu undi terendah dan 10 undi tertinggi.

Ini merupakan tahun ke-15 anugerah Newsmaker Malaysiakini , dan sepanjang satu setengah dekad yang lalu, seorang individu telah secara konsisten menjadi tajuk utama berita. Dan beliau ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dipilih sebagai Newsmaker pada 2005 (bersama dengan Tan Sri Rafidah Aziz) dan pada 2006. Dan pembaca Malaysiakini sekali lagi mengundi memilih beliau sebagai Newsmaker 2015.

Hampir sepanjang tahun ini, Dr Mahathir mengetuai kempen mendesak pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

No 2 dalam senarai itu ialah seorang lagi individu yang turut menjadi tajuk berita utama selama ini, iaitu seteru politik Dr Mahathir - bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan atas tuduhan liwat.

Najib - perdana menteri yang sedang dilanda skandal tetapi masih kekal memegang jawatannya - berada di kedudukan No 3 dan diekori rapat oleh bekas timbalan perdana menteri yang lantang mengkritik Najib dan kemudiannya dipecat, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

No 5 ialah mendiang Datuk Kevin Morais, timbalan pendakwa raya (DPP) yang telah dibunuh dan mayatnya ditemui dalam tong bersimen yang dibuang ke dalam paya. Seterusnya ialah Datin Seri Rosmah Mansor - isteri perdana menteri yang juga merupakan Newsmaker pada tahun lalu.

Seorang lagi calon wanita berada No 7 - Maria Chin, pemimpin BERSIH 2.0 yang menganjurkan perhimpunan besar-besaran selama tiga hari pada bulan Ogos.

No 8 ialah Sirul Azhar Umar, yang disabitkan atas pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Dia kini berada dalam tahanan di Sydney.

Dua lagi yang tersenarai ialah pengganti Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri (No 9) dan Pengarah komunikasi strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang juga menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan (No 10).

Senarai penuh

1. Dr Mahathir Mohamad , bekas perdana menteri

- 8,190 undi

2. Anwar Ibrahim

- 7,547 undi

3. Najib Razak , perdana menteri

- 7,268 undi

4. Muhyiddin Yassin , bekas timbalan perdana menteri

- 7,039 undi

5. Kevin Morais , timbalan pendakwa raya

- 6,800 undi

6. Rosmah Mansor , isteri kepada PM Najib

- 6,353 undi

7. Maria Chin , pemimpin BERSIH 2.0

- 6,299 undi

8. Sirul Azhar Umar

- 5,158 undi

9. Ahmad Zahid Hamidi , timbalan perdana menteri baru

- 4,818 undi

10. Abdul Rahman Dahlan , pengarah komunikasi strategik BN dan menteri

- 4,089 undi

Newsmakers sebelum ini

2014 - Penumpang dan krew MH370 dan MH17

2013 - Rosmah Mansor

2012 - Ambiga Sreenevasan

2011 - Bersih supporters

2010 - Ibrahim Ali

2009 - Teoh Beng Hock

2008 - YOU

2007 - VK Lingam

2006 - Mahathir Mohamad

2005 - Anugerah bersama - Rafidah Aziz and Mahathir Mohamad

2004 - S Samy Vellu

2003 - Husam Musa

2002 - Zainuddin Maidin

2001 - Rais Yatim

Semalam: 10 berita utama 2015

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In