Zahid: Tak perlu penuhi sebarang tuntutan BERSIH 4
Tidak ada keperluan bagi kerajaan untuk memenuhi sebarang tuntutan yang dibuat semasa perhimpunan BERSIH 4 kerana bantahan itu tidak memenuhi kehendak undang-undang negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Himpunan BERSIH pada 29 Ogos dan 30 telah dihadiri dalam lingkungan 35,000 orang dan perhimpunan berkenaan diisytiharkan sebagai perhimpunan yang tidak memenuhi kehendak undang-undang negara.
"Oleh itu, tiada keperluan pihak kerajaan untuk memenuhi sebarang tuntutan yang disaran semasa perhimpunan tersebut," kata Zahid selaku Menteri Dalam Negeri, dalam satu jawapan bertulis parlimen.
Beliau menjawab soalan oleh Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) mengenai tindakan yang diambil kerajaan untuk memenuhi lima tuntutan yang disarankan oleh himpunan BERSIH 4 dan jumlah peserta yang hadir.
Jawapan itu diberikan pada 3 Disember, iaitu hari terakhir sidang Dewan Rakyat.
Walaupun kerajaan mengisytiharkan perhimpunan tersebut sebagai haram, BERSIH 2.0 sendiri telah diisytiharkan sebagai sebuah entiti yang sah oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2012.
Semasa perhimpunan itu, kumpulan reformasi pilihan raya berkenaan menuntut pilihanraya yang bebas dan adil, kerajaan yang telus, hak untuk berhimpun, pengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara.
Malaysiakini
menganggarkan sehingga 100,000 orang hadir bagi menyokong bagi menyokong tuntutan berkenaan.
Sementara itu, berhubung soalan berkaitan, Zahid berkata, polis telah membuka 28 kertas siasatan ke atas perhimpunan BERSIH.
Sebagai perbandingan, beliau berkata polis telah membuka 15 kertas siasatan terhadap demonstrasi ‘baju merah’ pada 16 September lalu.
Bagaimanapun, Zahid enggan mendedahkan siapa yang sedang disiasat dan mereka yang telah ditangkap kerana perkara ini masih dalam siasatan.

