Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Najib tak mampu runding kembali perjanjian lama?

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menyatakan kebimbangan lebih banyak perjanjian konsesi membebankan rakyat akan berlaku di era Datuk Seri Najib Razak berbanding sebelum ini.

Rafizi menyatakan kebimbangan itu susulan kerajaan tidak mengendahkan cadangan pembentukan Suruhanjaya Perjanjian Awam untuk menyemak kembali kesemua perjanjian dengan pihak swasta yang melibatkan kepentingan awam.

“Malah, saya khuatir sekiranya tidak dibendung, pentadbiran Najib sebenarnya akan menganugerahkan lebih banyak perjanjian konsesi membebankan rakyat di masa hadapan berbanding jumlah perjanjian di bawah pentadbiran Tun Mahathir Mohamad atau Tun Abdullah Badawi,” katanya.

Rafizi ( gambar ) berkata, umum mengetahui Najib menubuhkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mempermudahkan penswastaan projek-projek kerajaan melalui konsep konsesi.

Cadangan PKR dalam pilihan raya umum ke-13 lalu itu antaranya mencadangkan kerajaan mengubah perjanjian sedia ada supaya lebih adil, berdasarkan laporan Suruhanjaya Perjanjian Awam.

PKR berhujah masih terdapat ruang untuk itu memandangkan terdapat syarikat konsesi dipegang oleh badan pelaburan kerajaan seperti Pejabat Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Prolinas.

'Najis terpalit dari dulu'

Beliau membangkitkan beberapa isu konsesi dibangkitkan sebelum ini seperti kontrak melibatkan kampus-kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Itu tidak termasuk perjanjian konsesi bagi lebuh raya-lebuh raya baru seperti EKVE (Lebuh Raya Lembah Klang Timur), SUKE (Lebuhraya Sungai Besi-Ulu ), WCE (Lebuh Raya Pantai Barat) dan lain-lain serta hospital-hospital baru.

“Malah, kita tidak tahu berapa banyak kemudahan kerajaan seperti balai polis, hospital, markas tentera dan lain-lain yang secara sembunyi telah diswastakan melalui konsep konsesi bawah pentadbiran Najib,” katanya.

Beliau juga menggesa penswastaan di era Najib didedah kepada umum selain bertindak sebelum kerajaan dibebankan dengan pampasan terlampau tinggi kepada pemegang konsesi “kroni”.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi semalam berkata orang ramai tidak harus menyalahkan kerajaan sedia ada terhadap kontrak penswastaan yang dibuat di era kepimpinan sebelum ini.

Dipercayai merujuk kepada perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir ( gambar ) Mohamad, beliau berkata “Najis yang terpalit itu dibuat dari dulu”.

Mengulas isu itu, Rafizi berkata, beliau bersetuju banyak perjanjian konsesi lebuhraya dan penjana bebas (IPP) diluluskan oleh pentadbiran Mahathir.

Bagaimanapun, katanya, itu tidak bermakna pentadbiran Najib tidak mampu berbuat apa-apa untuk merundingkan kembali perjanjian-perjanjian itu.