BERITA Malaysiakini

WSJ dakwa lembaga 1MDB gelisah dengan siasatan polis

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ahli lembaga pengarah dana pelaburan negara 1MDB dikatakan gelisah sepanjang siasatan ke atas syarikat itu, lapor akhbar kewangan harian Wall Street Journal (WSJ) hari ini.

Laporan itu mendakwa, berdasarkan minit mesyuarat yang berlangsung pada Disember tahun lalu, polis melawat ibu pejabat 1MDB selepas seorang ahli politik Umno yang tidak dinamakan membuat laporan polis mendakwa salah urus kewangan dalam syarikat itu.

Pihak polis tidak merakamkan sebarang keterangan, tetapi ahli lembaga pengarah bimbang dan berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan, dakwa laporan berkenaan.

"Seorang ahli lembaga pengarah bimbang sama ada mereka boleh didakwa dengan jenayah pecah amanah. Peguam dana itu menjawab tidak mungkin kerana tiada pengarah yang mendapat manfaat daripada aktiviti 1MDB," petik minit mesyuarat itu.

"Pengerusi lembaga kemudian mencadangkan supaya mesyuarat akan datang mereka berkumpul di luar pejabat 1MDB untuk 'mengurangkan risiko bilik mesyuarat diintip'," lapor WSJ.

Ia berkata 1MDB mengutamakan perbelanjaan untuk pilihan raya umum 2013 walaupun syarikat itu mengalami aliran tunai yang tidak mencukupi kerana jutawan Low Taek Jho mengarahkan demikian.

Laporan menambah berdasarkan minit dalam mesyuarat lebih awal pada Februari tahun itu , juruaudit Deloitte Touche Tohmatsu Ltd memberitahu ahli lembaga bahawa ia menerima email dan surat mendakwa 'penipuan laporan kewangan" dalam dana usaha sama dengan PetroSaudi International, pertukaran auditor sebelumnya dan lebihan bayaran kepada aset kuasa 1MDB.

1MDB hari ini bagaimanapun menolak laporan terbaru WSJ yang menurutnya membuat “dakwaan tidak berasas” dan dikitar semula sejak pertengahan 2015.