Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Walaupun terpaksa berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap 80 ekor kucing yang dibela, namun bagi seorang aktivis yang melakukan kerja amal menyelamatkan kucing jalanan berkata, beliau langsung tidak menyesal dengan tindakan itu.

Malah bekas penulis skrip, Mohd Rohizan Ramli, berkata, meskipun ia satu keputusan yang sukar tetapi beliau percaya rezeki telah Allah tentukan.

Menurut Rohizan atau dikenali dengan nama penanya Janjira, beliau mula memelihara kucing yang dikutip di jalanan sejak tujuh tahun lalu. Namun beliau mula serius untuk melakukan kerja amal ini setahun yang lalu selepas berhenti kerja.

Bermula dengan beberapa ekor kucing yang dikutip di kedai-kedai makan dan pasar, bilangan haiwan tersebut kemudian semakin bertambah apabila terdapat segelintir pihak yang turut menghantar kucing yang tidak mahu dibela kepadanya.

"Masa mula-mula saya nak berhenti kerja tu susah juga. Tapi saya tekad juga sebab minat dan lebih kepada kasihan dan kemanusiaan. Saya tak sampai hati.

"Masa saya kerja dulu, saya tak sempat nak jaga dan ada kucing saya mati tak dapat penjagaan sepenuhnya," kata Rohizan sambil dikelilingi kucing-kucing peliharaannya ketika ditemui Malaysiakini .

Ketika ini, Rohizan memiliki 80 ekor kucing - 30 ekor daripadanya kucing yang berpenyakit dan selebihnya kucing yang sihat. Menurut Rohizan, kebanyakkan kucing yang diambil adalah kucing yang terlalu kurus, berpenyakit dan anak kucing yang tidak mempunyai ibu.

Antara kucing yang berpenyakit di bawah jagaannya termasuk kucing yang mengalami penyakit sporotrikosis iaitu sejenis penyakit yang dihidapi kucing akibat jangkitan fungus, kucing yang lumpuh akibat kemalangan serta buta.

"Ada kucing yang masa saya kutip kurus sangat, sekarang dah gemuk," kata Rohizan tersenyum sambil membelai kucing-kucingnya yang turut serta dalam sesi temubual ini.

Ketika diajukan soalan mengenai kos rawatan dan penjagaan kucing-kucing tersebut, Rohizan yang berasal dari Perlis memberitahu beliau melakukan pelbagai kerja termasuk menulis buku untuk menampung segala perbelanjaan.

Beliau juga turut menerima sumbangan daripada pihak-pihak yang mahu beliau meneruskan pusat pelindungan haiwan tersebut.

"Saya buat macam-macam kerja. Sebab kadang-kadang kos rawatan bagi kucing yang sakit mahal, ada yang cecah sehingga RM5,000. Jadi, saya ada buat kerja dari rumah-rumah macam merapikan kucing, jaga kucing, jual barang dan terbaru saya menulis buku.

"Ada juga yang beri sumbangan tetapi selalunya saya minta orang yang nak beri sumbangan tu datang sendiri ke sini untuk tengok keadaan dan baru berikan sumbangan. Biar mereka melihat sendiri," katanya yang kini menjadikan satu lot rumah kedai dua tingkat di Bukit Beruntung sebagai pusat pelindungan kucing.

Menjelaskan tentang lokasi pusat pelindungan berkenaan yang agak terpencil, Rohizan berkata rumah kedai tersebut merupakan sumbangan dari pihak tertentu.

Malah beliau yang sebelum ini menetap di Kajang juga berkata, ia merupakan lokasi yang sesuai untuk menjaga "anak-anaknya" kerana jauh daripada orang ramai.

Jelas Rohizan yang turut menginap di rumah kedai berkenaan, walaupun membela binatang merupakan perkara terpuji, namun perasaan jiran tetangga serta masyarakat sekeliling perlu diambil kira.

"Memanglah bela binatang ni orang kata dapat pahala tetapi paling utama kita kena jaga perasaan jiran-jiran kita. Tak guna kalau kita bela binatang tapi jiran-jiran marah. Saya memang utamakan jiran-jiran. Jadi saya rasa lokasi sini agak bagus kerana jauh sikit dari orang.

"Tingkat bawah saya tempatkan kucing-kucing yang sakit dan dekat atas kucing-kucing yang sihat," katanya.

Apa yang paling menarik, Rohaizan berkata beliau turut mengingati hampir 60 nama kucing-kucingnya itu memandangkan setiap nama diberi mengikut lokasi kucing terbabit ditemui.

"Kucing-kucing yang sakit ada yang tak ada nama lagi. Tapi saya ingat hampir 60 nama kucing-kucing saya. Macam kucing nama Ali diberi kerana saya ambil dia dekat kedai Ali Maju. Kucing yang nama Tes sebab saya jumpa dia dekat Tesco ," katanya sambil memanggil kucing-kucing berkenaan.

Sekiranya ingin menghulurkan sumbangan boleh layari Facebook KUTIP by Janjira atau hubungi 010-3866733 atau 019-2966223 untuk maklumat lanjut.

Lihat Komen
ADS