Selebriti YouTube pula sindir Ahmad Maslan
Selepas pelawak Harith Iskandar, seorang selebriti YouTube hari ini turut menyindir cadangan kerja sampingan yang dikemukakan pemimpin Umno Datuk Ahmad Maslan.
Mat Luthfi atau nama sebenarnya Muhammad Luthfi Rohime bagaimanapun memilih cara kreatif dengan berpantun menyindir timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri (MITI) itu.
"Dua, tiga kucing berlari, mana nak sama di kucing belang; dua tiga kerja sehari, manakan sama gaji menteri seorang," tulisnya di Twitter.
2, 3 kucing berlari Manakan sama si kucing belang 2, 3 kerja sehari Manakan sama gaji menteri seorang
— Matluthfi90 (@Matluthfi90) December 30, 2015
Setakat berita ini ditulis, status itu telah diulang tweet lebih 13,000 kali.
Mat Luthfi bagaimanapun tidak menyebut secara langsung nama Ahmad.
Harith kelmarin mencuri tumpuan apabila mengulas mengenai saranan Ahmad supaya rakyat Malaysia melakukan kerja sampingan untuk menampung kos sara hidup.
Kata Harith, beliau merupakan pelawak, pengacara, penulis, pelakon, jurulatih dan pengarah.
Namun katanya, ia tidak bermaksud beliau mempunyai enam kerja tetapi hanya melakukan enam perkara berbeza.
Sementara itu, Mat Luthfi yang terkenal dengan video parodi menggunakan dialek pekat Utara itu juga mengambil kesempatan menyentuh isu tol dan pencemaran bauksit di Pahang.
"Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; rakit kena tol, sungai kena bauksit," tulisnya yang mengubah suai pantun lama.
Hujan lebat sepanjang hari kelmarin, telah menyebabkan air Sungai Balok dan pantai berhampiran 'bertukar' warna seakan-akan merah dipercayai dicemari bahan galian bauksit.
Berakit-rakit ke hulu Berenang-renang ke tepian Rakit kena tol Sungai kena bauksit :(
— Matluthfi90 (@Matluthfi90) December 30, 2015
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
